BATU PAHAT – DYMM Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berkenan mengurniakan pesawat jenis Amphibious buatan Amerika Syarikat iaitu Lake Renegade LA-270 kepada Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) ketika bertitah dalam Majlis Titah Tuanku Canselor Sempena Ulang Tahun ke-25 UTHM yang diadakan di kampus induk pada 20 September lalu.

Tuanku Sultan Ibrahim yang juga Canselor UTHM bertitah pengurniaan pesawat itu sebagai tanda sokongan Baginda kepada program Aeronautik yang diperkenalkan oleh universiti ini.

Baginda amat berbangga kerana UTHM menawarkan program Aeronautik yang mempunyai keunikannya tersendiri dengan menggabungkan aspek teknologi kejuruteraan aeronautik dengan pelesenan penerbangan profesional yang diiktiraf dalam pasaran.

“Sebagai tanda sokongan saya kepada program ini, saya akan hadiahkan sebuah pesawat jenis Amphibious kepada UTHM. Jagalah pesawat ini dengan baik sekali,” titah Baginda.

Tuanku Canselor bertitah program ijazah sarjana muda itu merupakan yang pertama di Malaysia dan satu-satunya program yang ditawarkan di Asia Tenggara.

“Malah di seluruh dunia, hanya terdapat empat sahaja universiti yang memiliki gabungan program tersebut,” titah Baginda.

Tuanku Canselor turut bersetuju supaya landasan kapal terbang lama di Tanjung Labuh di Batu Pahat dibangunkan semula dan dijadikan sebagai pusat latihan penerbangan untuk pelajar UTHM.

“Oleh itu saya menyeru kepada kerajaan Persekutuan untuk memberi sokongan dan bantuan bagi menjayakan program ini secepat mungkin.”

“Program Aeronautik ini bukan sahaja dapat melonjakkan nama UTHM, tetapi juga membuka peluang yang besar dalam pembangunan industri aeronautik di negara ini,” titah Baginda.

Penganjuran majlis titah yang pertama kali diadakan di kampus ini adalah sebagai platform kepada Tuanku Sultan Ibrahim menyampaikan amanat, kehendak dan pandangan baginda untuk dikongsi bersama warga universiti  dan penduduk negeri Johor khususnya.

Sambutan Jubli Perak 25 tahun UTHM ini turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti dan program yang telah dan akan dilaksanakan oleh universiti ini sepanjang tahun 2018. Sambutannya bertujuan sebagai memperingati kembali sejarah penubuhan universiti yang bermula dengan penubuhan Pusat Latihan Staf Politeknik (PLSP) pada 16 September 1993, diikuti dengan Institut Teknologi Tun Hussein Onn (ITTHO) pada 12 April 2000, dinaiktaraf menjadi Kolej Universiti Teknologi Tun Hussein Onn (KUiTTHO) pada 27 September 2000 sehingga dijenamakan semula sebagai UTHM pada 1 Februari 2007.