Pekan baru, 8 Ogos – Penyelidik dari Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah merangkul dua pingat emas dan dua pingat perak dalam The 2nd International Malaysia-Indonesia-Thailand Symposium on Innovation and Creativity (iMIT SIC 2018) yang telah diadakan di Universitas Riau, Pekan baru, Indonesia pada 6 hingga 8 Ogos lalu.

Pingat emas telah berjaya dirangkul melalui dua projek penyelidikan hasil kolaborasi FPTP dan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan di bawah bimbingan Profesor Dr. Hasan Zuhudi Abdullah, Profesor Dr. Maizlinda Idris dan Dr. Lee Te Chuan. Pingat emas pertama berjaya dirangkul oleh Zulkhibri Baharom melalui projek Self-healing Coating from Waste Cooking Oil manakala pingat emas kedua dirangkul oleh Nor Atiqah Syafinaz Mohd Pu’ad melalui projek Nano-sized Hydroxyapatite extracted from Tilapia Scale as Bone Implant Materials.

Sementara itu dua pingat perak pula diraih oleh Dr. Hamidun Mohd Noh dan pasukannya yang terdiri daripada Mohd Syazwan Khalidi, Mohd Nazrin Ramli dan Nurul Sofia Khir Johari melalui dua projek yang berbeza iaitu The Performance of Voided Reinforced Concrete Beam in Structural Member dan The Performance of Sugarcane Bagasse Fibre and Polistyrene as An Aggregate Replacement in Concrete.

Pada tahun ini, iMIT SIC telah dianjurkan oleh Universitas Riau (UNRI) dengan kerjasama Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis, Universitas Islam Riau (UIR) dan Princess of Naradhiwas University (PNU). Penganjuran ini bertujuan memberi peluang kepada pensyarah, penyelidik, dan pelajar dari Malaysia, Indonesia dan Thailand untuk berkongsi projek kreatif dan inovasi mereka yang boleh menyumbang kepada penyelidikan yang lebih baik.

Simposium yang berlangsung selama tiga hari ini dimulai dengan majlis makan malam dan persembahan kebudayaan dari tiga buah negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Thailand. Turut diadakan pertandingan poster bagi mempamerkan produk inovasi penyelidik yang mana ia telah dinilai mengikut beberapa kategori iaitu kategori ahli-ahli akademik dan kategori pelajar pascasiswazah.

Pertandingan ini telah menerima penyertaan yang luar biasa yang mana lebih kurang 270 penyertaan telah diterima dari penyelidik dan pelajar sekitar Malaysia, Indonesia dan Thailand untuk mempamerkan produk inovasi dan kajian yang telah mereka lakukan. Penilaian dilakukan oleh panel-panel yang terdiri daripada ahli-ahli akademik dari Malaysia, Indonesia dan Thailand.

Selain itu, pihak penganjur turut mengadakan lawatan melibatkan peserta dari Malaysia dan Thailand ke lokasi bersejarah di Siak dengan tujuan mendekati dan mengenali budaya Indonesia.

Majlis Penutup yang berlangsung penuh meriah pula telah disempurnakan oleh Profesor Dr. Ir. Aras Mulyadi, Rektor UNRI, Indonesia.