Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dipilih menjadi tuan rumah untuk Kejohanan Golf Antara Universiti Awam Malaysia ke-46 yang diadakan pada 25 dan 26 Julai 2018 bertempat di Palm Resort Golf & Country Club, Senai, Johor.

Kejohanan golf kali ini menyaksikan 308 pemain golf dari universiti awam (UA) termasuk dari Kementerian Pendidikan Malaysia merebut piala pusingan kejohanan yang disumbangkan secara peribadi oleh DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar.

Menariknya, YAM Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim yang juga Penaung DiRaja antara pemain golf yang berentap pada Kejohanan yang berlangsung selama dua hari ini dan turut melakukan pukulan ‘Tee Off’ pada jam 8.15 pagi 26 Julai baru-baru ini.

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjuarai kejohanan Golf tersebut dan membawa pulang piala pusingan, Piala Sultan Ibrahim yang disampaikan Tunku Abdul Rahman pada majlis santapan makan malam sempena kejohanan itu. UKM selaku juara keseluruhan turut muncul sebagai kontinjen terbaik dalam temasya kali ini.

Tunku Abdul Rahman turut berkenan menyampaikan hadiah kepada para pemenang serta sijil penghargaan kepada para penaja.

Untuk rekod, Kejohanan Golf Antara Universiti Awam Malaysia ini telah dianjurkan pertama kali oleh Universiti Sains Malaysia pada tahun 1970. UTHM sebelum ini pernah menjadi tuan rumah bagi kejohanan kali ke-33 pada tahun 2005, yang ketika itu masih bergelar Kolej Universiti Teknologi Tun Hussein Onn (KUiTTHO).

Sehingga 1975, kejohanan golf ini adalah pertandingan golf 18 lubang dan mengambil masa sehari sahaja penganjurannya. Namun pada tahun 1976, peraturan tersebut telah dipinda sekali gus menjadikan kejohanan golf 36 lubang yang mengambil masa dua hari.