Jabatan Pengurusan Pengeluaran dan Operasi, Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) buat julung kalinya telah berjaya melaksanakan program mobiliti berkredit keluar negara menerusi pelaksanaan program “Sakura Exchange Program in Science” di Tokyo City University (TCU), Jepun.sakura 3

Program ini dianjurkan dan dibiayai sepenuhnya oleh Japan-Asia Youth Exchange Program in Science bermula pada 3 hingga 12 Julai 2018 lalu. Tujuan program ini diadakan adalah untuk memberikan pendedahan kepada pelajar-pelajar UTHM khususnya dalam mendekati kaedah pembelajaran dan memahami budaya kehidupan masyarakat Jepun disepanjang tempoh tersebut.

Peserta yang terlibat adalah seramai sepuluh orang iaitu tujuh orang pelajar perempuan dan tiga orang pelajar lelaki yang dipilih bersesuaian mengikut keperluan yang disyaratkan oleh kerajaan Jepun. Manakala Pensyarah FPTP, Dr. Yunos Ngadiman telah terpilih sebagai Pegawai Pengiring dalam kalangan kakitangan akademik yang berkebolehan menguasai Bahasa Jepun dan memahami kehidupan masyarakat di sana.

sakura 4Program ini telah dikendalikan di kampus utama TCU, Jepun dengan mengikuti jadual harian yang padat bagi mengikuti program-program seperti orientasi pengenalan diri, lawatan kampus, ceramah proses menganalisis data, pengurusan inventori, simulasi promosi penjualan, proses pembaikan melalui proses simulasi teknologi maklumat, lawatan ke syarikat logistik, lawatan ke National Museum of Emerging Science and Innovation dan pembentangan laporan akhir.

Antara program yang menarik perhatian di TCU itu ialah pelajar-pelajar dapat melihat peralatan canggih dalam kaedah pembelajaran praktikal seperti alatan mengesan pemeriksaan ketulinan keatas batu permata di Makmal Pancaran Sinaran-X Berteknologi Tinggi, TCU. Selain itu, pelajar juga terpesona dengan projek pergerakan robot yang boleh memahami arahan melalui  dwibahasa iaitu samada bahasa Jepun atau Inggeris. Robot ini boleh memahami segala pertanyaan dan mejawabnya dengan jelas.

Dari sudut kehidupan dan kebudayaan Jepun pula, pelajar-pelajar telah didedahkan tentang kepentingan mengurus masa dengan tepat, menaiki tren keretapi dengan berdisiplin, menyusun kasut secara terbalik supaya mudah digunakan, membuang sampah mengikut kategori sampah, menggunakan tangga untuk menaiki tingkat rendah tanpa menaiki lif dan sentiasa mengikut peraturan berdasarkan papan tanda yang dipaparkan.sakura 2

Sebagai menepati pencapaian program mobiliti berkredit diluar negara, para pelajar telah diberi pendedahan tentang kaedah pembelajaran yang berkomprehensif dengan penggunaan peralatan dan kemudahan di Jepun secara tidak langsung telah dapat menimba pengalaman yang amat berguna untuk membina kecemerlangan dimasa hadapan. Selain mengikuti program akademik yang disediakan di TCU, pelajar juga didedahkan tentang pertunjukan kebudayaan turun temurun masyarakat Jepun yang belum pernah dilihat sebelum ini.

Di hari terakhir program tersebut juga para pelajar UTHM telah memberikan persembahan tarian kebudayaan Melayu dengan berpakaian kebaya Melayu (pelajar wanita) dan bersongkok (lelaki) serba lengkap telah menambat tarikan kepada masyarakat Jepun.