Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan Program CEO@Faculty pertama untuk tahun 2018 bersama Dato’ Sri Zohari Hj Akod, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya pada 30 April lalu.

Program CEO@Faculty siri pertama yang disertai kira-kira 1000 orang pelajar dan pensyarah dari pelbagai Jabatan di FTK ini dianjurkan bagi membincang dan memberi pendedahan berkaitan tajuk “Perkembangan Semasa dan Peluang Kerjaya dalam Industri Berkaitan IBS, BIM dan ITS.”

Turut hadir ke program ini Profesor Ts. Dr. Wahid Razzaly, Naib Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM); Profesor Dato Dr. Abdul Razak Haji Omar, Provost UTHM Kampus Cawangan Pagoh; Profesor Ts. Dr. Ruzairi bin Abdul Rahim, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) serta pegawai-pegawai kanan universiti, wakil-wakil jabatan awam dan agensi kerajaan.

Turut diadakan perbincangan bersama CEO Fakulti bagi menyemak kurikulum kursus ‘Industrialised Building System’ (BNC 42303), dan juga kolaborasi dengan pihak CIDB dalam bidang penyelidikan.

Melalui perbincangan ini, pihak FTK juga telah menyatakan hasrat kepada Dato Sri’ Zohari berkenaan perancangan FTK yang akan menganjurkan beberapa lagi siri Program CEO@Faculty sepanjang tahun 2018 ini. Justeru itu dalam usaha meningkatkan kebolehpasaran graduan, FTK mengharapkan penglibatan yang berterusan daripada pihak industri dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran melalui pengalaman, kepakaran dan pengetahuan bagi membantu membentuk dan membimbing pelajar.

Manakala UTHM pula berharap penganjuran program CEO@Faculty seumpama ini dapat memberi peluang kepada pelajar dan staf akademik untuk berinteraksi secara terus bersama pihak industri sekali gus pelajar turut mendapat pendedahan mengenai cabaran sebenar dunia pekerjaan.