Hari Kepelbagaian Biologi Antarabangsa – UTHM tingkat kesedaran awam

Bagi membantu meningkatkan kesedaran awam, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST) turut menyambut ‘Hari Kepelbagaian Biologi Antarabangsa’ dengan penganjuran pelbagai aktiviti bermula...
IBD 1

Bagi membantu meningkatkan kesedaran awam, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST) turut menyambut ‘Hari Kepelbagaian Biologi Antarabangsa’ dengan penganjuran pelbagai aktiviti bermula pada 22 April lalu sehingga 22 Mei 2018.

Sambutan yang kendalikan oleh Jabatan Teknologi dan Sumber Semulajadi dan Pusat Penyelidikan-Pusat Pemuliharaan dan Penggunaan Mapan Sumber-sumber Semulajadi (CoR-SUNR) ini telah diisi dengan beberapa aktiviti menarik seperti menerima lawatan daripada penduduk Kampung Parit Jelutong, Parit Raja, Batu Pahat pada 25 April, Majlis Perasmian Taman Herba UTHM-Pagoh pada 3 Mei, Program Penanaman Pokok di Kolej Kediaman UTHM-Pagoh pada 4 Mei 2018 dan beberapa pengisian lain yang semestinya memberi manfaat kepada sejumlah komuniti yang terlibat.

Manakala acara kemuncak yang diadakan pada 22 Mei pula diisi dengan aktiviti Operasi Menentang Spesis Asing Invasif (OPS-AIS) yang mana melibatkan sekumpulan pelajar bergotong royong membersihkan kawasan sekitar Kolej Kediaman.

Turut diadakan, beberapa permainan dan aktiviti menarik untuk disertai oleh warga kampus termasuk pameran yang bertemakan flora dan fauna dari pelbagai ekosistem.

Pengarah Bahagian Konservasi Biodiversiti, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia, Dr. Pazil Abdul Patah turut diundang untuk memberikan ceramah khas berkaitan konservasi hidupan liar di Malaysia pada hari yang sama. Beliau juga merupakan Penasihat Industri kepada Program Sarjana Muda (Kepelbagaian Biologi dan Pemuliharaan) di UTHM.

Hadir sama memeriahkan program ceramah tersebut Dekan FAST, Profesor Madya Dr. Mohd Kamarulzaki Mustafa, Mantan Naib Canselor, Profesor Datuk Dr. Mohd Noh Dalimin, Profesor Datin Dr. Maryati Mohamed, Ketua CoR-SUNR, Timbalan-timbalan Dekan, Ketua Jabatan dan pensyarah FAST.

Untuk rekod, Hari Kepelbagaian Biologi Antarabangsa ini disambut setiap tahun bertujuan untuk meningkatkan kesedaran awam mengenai kepentingan biodiversiti marin di samping sebagai usaha mempamerkan kekayaan dan keunikan biodiversiti marin ini.

Sementara itu, kepelbagaian biologi pula merujuk kepada variasi tumbuh-tumbuhan, haiwan, mikroorganisma dan berhubung mengenai genetik, spesies dan ekosistem. Malaysia merupakan satu daripada 12 buah negara mega kepelbagaian biologi dunia, iaitu negara-negara yang secara bersama menampung antara 60 hingga 70 peratus kepelbagaian biologi dunia.

 

Categories
Sains Gunaan dan Teknologi

RELATED ARTICLE