BATU PAHAT – Atas dasar keprihatinan yang tinggi terhadap komuniti setempat, pelajar dan staf Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menjalankan aktiviti berbentuk khidmat masyarakat dengan penduduk Kampung Parit Yaani Tengah melalui program Ziarah Komuniti: KKTF D’Parit Yaani pada 1 Mei lalu.

Menurut Felo Kolej Kediaman Tun Fatimah, Dr. Nur Ilyani Ramli program ini diadakan bertujuan untuk memupuk rasa prihatin warga universiti terhadap komuniti dan persekitaran di samping mengamalkan budaya hidup sihat dan amalan sentiasa bantu membantu dalam kehidupan bermasyarakat.

Program ziarah ini diisi dengan pelbagai aktiviti menarik antaranya penganjuran bengkel pendidikan bagi calon UPSR, PT3 dan SPM sekitar Parit Yaani, majlis tahlil dan bacaan Yassin, majlis cukur jambul, tazkirah maghrib dan aktiviti rewang memasak nasi ambang berlauk ayam kicap keluban yang merupakan menu tradisi penduduk kampung tersebut.

Turut serta, Pengetua Kolej Kediaman Tun Fatimah, Dr. Hj. Mohamad Zaid Mustapha yang juga merupakan penasihat kepada program ini.

“Penganjuran program seumpama ini dapat mendedahkan pelajar kepada budaya dan corak hidup masyarakat sekeliling. Kawasan sekitar UTHM yang dikelilingi oleh masyarakat kampung seperti kawasan Parit Raja, Parit Yaani, Rengit dan Ayer Hitam memberi peluang kepada golongan pelajar untuk mendekatkan jurang mereka dengan masyarakat setempat sekali gus menyokong objektif program iaitu melahirkan mahasiswa yang berketrampilan serta mampu memberi sumbangan kepada keluarga, masyarakat dan negara,” katanya.

Jelas Dr. Nur Ilyani, komuniti sasaran program ini melibatkan tiga lapisan masyarakat iaitu golongan kanak-kanak dan remaja (pelajar sekolah), ibu bapa serta golongan emas di kampong tersebut.

“Melalui program ini, mahasiswa dapat mengaplikasi dan mempraktikkan pengetahuan mereka dengan memberi sumbangan khidmat bakti kepada masyarakat yang terdiri daripada pelbagai lapisan. Secara tidak langsung, usaha ini boleh memupuk keseimbangan perkembangan mental, rohani, jasmani dan sosial,” tambahnya lagi.

Sementara itu Ketua Kampung, Masrom Tobiran turut berterima kasih kepada pihak universiti atas kesungguhan mereka dalam menjayakan program ziarah komuniti ini. Menurut beliau pihaknya sentiasa memberi ruang dan peluang kepada komuniti atau persatuan termasuk institusi pengajian sekitar Batu Pahat untuk menjalankan sebarang bentuk aktiviti kemasyarakatan di kampung itu.

Bagi beliau aktiviti sebegini bukan sahaja memberi impak positif kepada pelajar dan staf UTHM, malah turut memberi manfaat kepada penduduk kampung yang mana mereka berpeluang berkumpul serta merapatkan lagi hubungan persaudaraan melalui aktiviti yang dianjurkan.