itex 2018Seperti tahun-tahun sebelum, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) sekali lagi mencatat rekod membawa pulang 15 pingat iaitu tiga pingat emas, lapan pingat perak dan empat pingat gangsa di International Invention  Innovation And Technology Exhibition 2018 (ITEX) yang berlangsung pada 10 hingga 12 Mei lalu bertempat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Selain itu, kerjasama penyelidikan yang dilaksanakan oleh Dr. Mohammad Zulafif Rahim dengan Universiti Tenaga Nasional membuahkan hasil apabila berjaya meraih tiga pingat emas manakala penglibatan Profesor Madya Dr. Nik Hisyamudin Muhd Nor bersama Universiti Teknikal Malaysia Melaka pula berjaya memperoleh satu pingat emas.

Penganjuran ITEX 2018 kali ke-29 yang merupakan acara tahunan bertemakan Ignite your Creativity ini telah disempurnakan oleh Presiden Malaysia Invention & Design Society (MINDS), Tan Sri Datuk Augustine S.H.Ong. Program anjuran MINDS dan C.I.S Network ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan penyertaan peserta dari dalam dan luar negara.

Bercakap semasa upacara pembukaan, Tan Sri Augustine S.H.Ong berkata acara pada tahun ini memberi perhatian kepada konsep pengkomersilan dan keusahawanan. Menurutnya lagi, penganjuran program ini juga sebagai menghargai usaha yang telah diberikan oleh para peserta yang bertungkus lumus menghabiskan masa di makmal bagi memperkenalkan reka cipta yang telah dihasilkan.

Sementara itu Naib canselor UTHM, Profesor Ts. Dr. Wahid Razzaly berharap penyertaan UTHM di ITEX’18 ini dapat menjadi pemangkin kepada para penyelidik universiti untuk mengkomersilkan teknologi-teknologi baharu yang dihasilkan sekali gus dapat menyumbang kepada penjanaan pendapatan universiti.

Turut diadakan sempena ITEX 2018 ini, satu majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara UTHM dan Universitas Mercu Buana (UMB), Indonesia. Sesi menandatangani MoU tersebut telah diwakili oleh Profesor Ts. Dr. Wahid manakala UMB pula diwakili oleh Rektornya, Dr. Ir. Arissetyanto Nugroho. Kerjasama ini akan dapat memberi manfaat kepada kedua-dua universiti dalam pelbagai aspek seperti bidang penyelidikan dan inovasi serta pemindahan ilmu (knowledge transfer).