BATU PAHAT – Dewasa ini pelbagai usaha dilakukan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang bahaya kanser payudara yang merupakan salah satu pembunuh utama wanita negara ini.

Bagi meneruskan lagi usaha, Biro Kebudayaan Mahasiswa India (BKMI) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dengan kerjasama Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor (YKTLJ) turut mengadakan program Kesedaran Kanser Payudara “Tell Breast Cancer To Step Aside” pada 3 Mei lalu bertempat di Dataran Terbuka UTHM.

Objektif utama kempen tersebut adalah untuk menggalakkan masyarakat dari semua peringkat usia mendapatkan pemahaman yang lebih jelas tentang kanser payudara.

Melalui program ini, BKMI UTHM berharap dapat memberi pendedahan kepada masyarakat betapa pentingnya kesedaran tersebut diterapkan sekali gus mampu mengurangkan risiko mendapat penyakit kanser dengan membantu mengesannya lebih awal untuk rawatan.

Turut serta ke kempen tersebut, pesakit kanser Siti Ruzana Dahlan, Mahanim Abd Rahman dan Loh Siew Tin serta wakil dari Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Matron Fauziah Ahmad yang dijemput khas bagi menjayakan sesi “Townhall With Cancer Fighters”. Kesemua tetamu jemputan ini berkongsi pengalaman mereka berjuang melawan kanser selain turut memberi penerangan mengenai penyakit ini serta perkhidmatan yang disediakan oleh YKTLJ dan LPPKN.

Program ini juga turut diisi dengan pelbagai aktiviti antaranya perkhidmatan pemeriksaan kesihatan secara percuma, pameran kesihatan, derma darah, pendaftaran derma organ oleh pihak Pejabat Kesihatan Daerah Batu Pahat, Hospital Sultanah Nora Ismail Batu Pahat dan sesi ringkas sumbangan derma oleh BKMI kepada pihak YKTLJ.