Kumpulan Renaissance dari Pusat Kesihatan Universiti (PKU) telah meraih Johan dalam Konvensyen Inovatif dan Kreatif Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang berlangsung pada 15 Mei lalu bertempat di Bilik Bankuet, Dewan Sultan Ibrahim, kampus induk.

Sementara itu, Naib Johan pula dirangkul oleh kumpulan MOSFET dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE) manakala kumpulan EAGLE 3 juga dari PKU mendapat tempat ketiga.

Kumpulan Renaissance yang terdiri daripada enam orang ahli diketuai oleh Puan Haritini Shafii telah membentangkan projek bertajuk “Pengambilan Darah Kanak-Kanak Dua Hingga Empat Tahun Mengambil Masa Yang Lama”.

Kumpulan ini telah mempertaruhkan produk Blood Wrapping Kid ‘Kiddy Comfy’ iaitu bedung kanak-kanak yang dibuat menggunakan material yang selesa dan berwarna. Penggunaan produk inovasi ini telah mengurangkan rontaan pada pesakit kanak-kanak yang berusia dua hingga empat tahun, menjimatkan masa, lebih selamat dan mengurangkan kesilapan dan kecederaan semasa pengambilan darah dilakukan.

Manakala Kumpulan MOSFET dari FKEE yang diketuai oleh Dr. Roshayati Yahya telah membentangkan projek ‘Pencarian Item Makmal Secara Atas Talian’. Kumpulan ini telah membangunkan laman web bagi pencarian item di makmal yang dinamakan E-Labs. Dengan adanya E-Labs ini ianya dapat memendekkan masa dan memudahkan proses carian item di makmal. Selain itu E-Labs ini turut memudahkan capaian aplikasi menerusi laman sesawang fakulti.

Kumpulan EAGLE 3 pula mengetengahkan projek Rawatan Fisioterapi dengan penciptaan alat Combo Exs Unit. Alat ini membolehkan pelbagai alatan senaman kaki dan tangan digunakan secara serentak dalam satu tempat.

Ketiga-tiga projek ini telah diberi penarafan Emas oleh panel juri sekali gus bakal mewakili universiti ke pertandingan peringkat lebih tinggi.

Hadir sama ke majlis penutup Naib Canselor, Profesor Ts. Dr. Wahid Razzaly; Dekan FKEE, Profesor Dr. Hashim Saim dan Pengarah PKU, Dr. Zulkifli Taat.

Pengiktirafan seumpama ini membuktikan bahawa universiti ini juga mempunyai produk dan hasil penyelidikan yang mampu diketengahkan dalam usaha meningkatkan lagi inovasi dan penambahbaikan terhadap perkhidmatan yang diberikan kepada pelanggan.