FKEE buka tirai “CEO@Faculty Programme” 2018

Bagi meneruskan lagi siri penganjuran “CEO@Faculty Programme”di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE) bersama Pejabat Hubungan Universiti dan Industri (PHI) telah menjayakan program...
2018-04-24

Bagi meneruskan lagi siri penganjuran “CEO@Faculty Programme”di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE) bersama Pejabat Hubungan Universiti dan Industri (PHI) telah menjayakan program pertama untuk tahun 2018 ini pada 24 April lalu bertempat di Dewan Sultan Ibrahim, kampus induk.

Penganjuran program ini bertujuan membawa Ketua Pegawai Esekutif (CEO) tempatan dan antarabangsa untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman mereka bersama pelajar dan warga universiti di samping merapatkan jurang industri dan akademia, sekali gus sebagai usaha meningkatkan lagi penawaran program universiti dan inisiatif pemindahan pengetahuan bersama industri.

Program “CEO@Faculty Programme” kali ini telah menampilkan Dato’ Wei Chuan Beng, CEO dari Digital Way Ventures (HK) Ltd. yang membicarakan tajuk  “Multimedia Technology” di hadapan kira-kira 120 pelajar dari kursus Teknologi dan Aplikasi Media, FKEE.

Turut diadakan, “IoT Pitching Competition” anjuran Institut Jurutera Malaysia (IEM-UTHM), persatuan pelajar UTHM yang mempertandingkan beberapa projek pelajar berkaitan aplikasi “Internet of Things” (IoT).

Hadir sama ke program ini, Dr. Mazlan Abbas, CEO dan Co-Founder dari FAVORIOT Sdn. Bhd. yang juga selaku juri pertandingan pada hari tersebut.

Manakala pada sebelah petangnya, turut diadakan seminar “Fostering IoT Entrepreneurship and Innovation Ecosystems” yang juga dikendalikan oleh dua tetamu jemputan tersebut iaitu Dato’ Beng dan Dr. Mazlan.

Turut hadir ke seminar itu Naib Canselor UTHM, Profesor Ts. Dr. Wahib Razally bersama pegawai-pegawai kanan universiti serta 200 orang pelajar dan pensyarah dari pelbagai fakulti di UTHM.

Mengikut perancangan, UTHM akan menganjurkan lebih daripada dua siri “CEO@Faculty Programme” bagi tahun 2018 ini dan pihak universiti berharap penganjuran program seumpama ini dapat memberi manfaat kepada seluruh warganya dalam usaha meningkatkan lagi pengetahuan mereka dalam pelbagai bidang.

Categories
Kejuruteraan Elektrik dan ElektronikLatest News

RELATED ARTICLE