Bagi merapatkan hubungan dengan komuniti setempat, Kelab Staf Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FATEKMA Holding), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah mengambil inisiatif dengan menganjurkan Kem Motivasi Murid Tahun Enam “Pencetus Menara Gading” bersama Sekolah Kebangsaan Seri Maimon  pada 3 hingga 5 Mei lalu bertempat di Masjid Sultan Ibrahim, kampus induk.

Pengisian kem motivasi ini adalah berbentuk islamik dan kerohanian serta dikendalikan oleh Kelab Rakan Masjid yang terdiri daripada pelajar-pelajar UTHM yang dilantik sebagai fasilitator dan dibantu oleh jawatankuasa Masjid Sultan Ibrahim.

Peserta kem yang terdiri daripada 61 murid tahun enam ini turut didedahkan dengan kelas Asas Penggunaan Komputer yang diadakan di Makmal Komputer, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM). Kelas ini dikendalikan oleh pelajar-pelajar UTHM yang mengambil matapelajaran Penyelenggaraan Komputer yang diketuai oleh Mohammad Hafiz Mt. Saidun yang merupakan pensyarah matapelajaran tersebut.

Pengarah Program, Norashid Hassan dalam ucapannya menyatakan tanpa kerjasama pihak tertentu, program ini tidak dapat dilaksanakan dengan baik sekali. Beliau juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang terlibat, yang sudi menghulurkan bantuan berbentuk kewangan, tenaga mahupun idea bagi memastikan program ini dapat dijalankan seperti yang dirancang.

Beliau dalam ucapannya menyatakan peserta program kali ini adalah antara pelajar yang bertuah kerana pihak penganjur tidak mengenakan sebarang yuran penyertaan dan berharap program seperti ini dapat diadakan lagi bagi memberi peluang kepada sekolah-sekolah yang berada di luar bandar menikmati manfaat seperti ini.

Turut hadir ke program ini Ts. Dr. Azizul Azhar Ramli, bekas pelajar SK Seri maimon yang sedang berkhidmat di UTHM sebagai Pensyarah Kanan, yang juga merupakan Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa di Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat.

Menurut beliau penganjuran program seumpama ini wajar diteruskan bagi mendekatkan lagi universiti dengan komuniti setempat. Beliau juga sempat memberi kata-kata motivasi kepada peserta bagi menghadapi peperiksaan UPSR yang akan ditempuh  pada bulan September nanti melalui slot bersama tokoh akademik semasa majlis penutup yang berlangsung pada 5 Mei lalu bertempat di Dewan Al-Farabi, Masjid Sultan Ibrahim. Ibu bapa dan guru-guru turut hadir ke majlis penutup tersebut bagi memeriahkan lagi majlis.