Bazaar Vaganza-Food Festival tarik 45 ribu pengunjung ke Kluang Mall

KLUANG – Bazaar Vaganza-Food Festival @ Kluang Mall anjuran Kelab Pelajar Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah berjaya...
bv 5

KLUANG – Bazaar Vaganza-Food Festival @ Kluang Mall anjuran Kelab Pelajar Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah berjaya menarik 45 ribu pengunjung ke Kluang Mall sepanjang dua hari karnival yang berlangsung pada 27 dan 28 April lalu.

Menurut Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni FPTP, Dr. Md. Asrul Nasid Masrom yang juga Penasihat program, Bazaar Vaganza dengan kerjasama pihak pengurusan Kluang Mall ini adalah bertujuan untuk memberikan ruang, peluang serta pendedahan kepada mahasiswa UTHM untuk meningkatkan kemahiran keusahawanan sekali gus memantapkan lagi tadbir urus sesuatu perniagaan agar lebih sistematik terutamanya perniagaan yang beroperasi di sesebuah pusat membeli belah.

Menurutnya lagi penganjuran program anjuran bersama kelab pelajar TMB di bawah FPTP dan Pengurusan Tenaga Nusantara Sdn. Bhd. selaku penaja ruang di Atrium dan ruang tengah Kluang Mall ini dilihat mampu membantu pelajar meningkatkan lagi kemahiran komunikasi dengan badan-badan korporat.

Keunikan dan keistimewaan Bazaar Vaganza ini dapat dilihat melalui konsep ”Mentor-Mentee” yang diterapkan melalui kewujudan lebih 20 gerai jualan yang menjual pelbagai produk-produk makanan, minuman, pakaian beserta hiasan. Sebelum ini, konsep yang telah dilaksanakan selama setahun setengah ini menggabungkan mahasiswa (mentee) dan peniaga kecil (mentor) sekitar Kluang dan Batu Pahat.

“Dengan pendekatan ini,  mentor dapat memindahkan ilmu perniagaan secara praktikal kepada mentee dengan lebih efektif selain sesuai dijadikan platform bagi membentuk graduan yang holistik, bercirikan keusahawanan dan seimbang, yang mana sesuai dengan 10 lonjakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2015 – 2025 (Pendidikan Tinggi).”

“Sebelum ini, program ini bermula di foyer fakulti dengan penyertaan 10 peniaga yang terdiri dalam kalangan pelajar sahaja dan akhirnya semakin bertambah hasil semangat dan keberanian mereka mengetengahkan produk-produk yang unik lagi kreatif,” tambah beliau.

Dengan terlaksananya program ini di Kluang Mall, ia telah membantu pihak UTHM untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala dan kerjasama yang baik antara mahasiswa dan juga pihak pengurusan korporat serta komuniti di luar UTHM.

Program yang berteraskan keusahawanan ini telah diisi dengan pelbagai aktiviti menarik seperti Business Challenge yang mana tujuh kumpulan telah bertanding dengan tugasan seperti menjual barangan yang di taja oleh Empayar AilyQairy Sdn. Bhd. (kosmetik) dan Suhaila .Co (Tudung), pertandingan hiasan kek perkahwinan, program Bicara Kesihatan Kulit bersama wakil Mary Kay dan juga Tips Pembiayaaan Mudah Lulus bersama pihak Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) dan TEKUN Nasional, cabutan bertuah yang menawarkan hadiah-hadiah menarik, pertandingan e-FIFA, pertandingan makan-makan, Latina workout bersama Diva Nana, pertandingan mewarna kanak-kanak dan pertandingan solekan zon selatan yang melibatkan penyertaan dari pelbagai negeri.

Selain itu, pelbagai gerai jualan yang menawarkan harga dan produk-produk yang istimewa serta ruang promosi program-program yang ditawarkan oleh FPTP seperti Program Sarjana Pengurusan Perniagaan (MBA), Program Sarjana Pengurusan Teknologi Pembinaan (MPC), Pusat Kajian Pengurusan Fasiliti (CEFM) dan Pusat Kajian Pengurusan Perniagaan (CBD)  juga menjadi tarikan kepada pengunjung untuk datang memenuhi ruang pameran.

Majlis pelancaran karnival telah disempurnakan oleh Dekan Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Profesor Madya Dr. Mohd Lizam Mohd Diah. Hadir sama, wakil-wakil dari pengurusan Kluang Mall, Mobile Fiesta Management (MF), Empayar AilyQairy Sdn. Bhd., PeGEMPAK, Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa FPTP, penasihat-penasihat kelab pelajar, pensyarah-pensyarah dan staf fakulti.

Semangat kerjasama yang dipamerkan oleh semua pihak seperti pihak pengurusan Kluang Mall, ahli-ahli kelab TMB, pihak pengurusan FPTP, pengurusan CBER, pengurusan Mobile Fiesta Management, Empayar AilyQairy Sdn. Bhd., PeGEMPAK, penaja deko pentas Cika Bridal & Wedding dan beberapa pihak lain telah menjadikan program Bazaar Vaganza ini suatu program yang mempunyai impak positif kepada pelajar, peniaga-peniaga kecil dan juga peniaga di Kluang Mall itu sendiri.

Categories
KeusahawananLatest News

RELATED ARTICLE