Seramai 180 orang staf Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) yang berlangsung pada 7 Mei baru-baru ini bertempat di Dewan Sultan Ibrahim, kampus induk.

Manakala 287 staf lagi telah terpilih menerima beberapa anugerah lain antaranya Anugerah Taat Setia (ATS), Anugerah Jasa Bakti (AJB),  Anugerah Khas Panel Pembangunan Sumber Manusia (AKPPSM), Anugerah Pengajaran (AP), Anugerah Cuti Belajar (ACB) dan Penghargaan Kepada Pesara.

Majlis telah disempurnakan oleh Naib Canselor, Profesor Ts. Dr. Wahid Razzaly dan turut dihadiri kepimpinan universiti. Beliau dalam ucapannya mengucapkan syabas dan tahniah kepada penerima-penerima anugerah sekaligus mengingatkan warga UTHM agar terus menjiwai budaya berprestasi tinggi dalam meningkatkan lagi mutu perkhidmatan, di samping bersedia untuk berhijrah dari segi pemikiran, sikap dan budaya ke arah yang lebih baik.

“Saya berharap semua yang diraikan ini terus mengekalkan momentum kecemerlangan, lebih berinovasi dan berintegriti dan janganlah cepat merasa selesa dengan pencapaian pada hari ini kerana masih banyak cabaran dan halangan yang perlu ditempuhi dalam merealisasikan visi dan misi universiti,” katanya.

UTHM komited menganjurkan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang ini saban tahun bagi memberi pengiktirafan kepada kakitangan yang memberi sumbangan yang cemerlang dalam perkhidmatan sekali gus sebagai satu usaha untuk meningkatkan lagi prestasi dan daya saing dalam kalangan warga kerja.