PAGOH  –  Kolej Kediaman Pelajar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Kampus Pagoh, Bandar Universiti Pagoh menerima perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi secara percuma bermula 26 Februari 2018 lalu daripada Telekom Malaysia Berhad (TM).

Menurut Naib Presiden Negeri, TM Johor, Ahmad Nasri Mohamed kemudahan WiFi@Unifi kini boleh dinikmati secara percuma di kesemua kolej kediaman melalui pemasangan 10 unit access point (AP) yang berkelajuan sehingga 100 mbps.

“Buat masa ini kemudahan ini pihak kami berikan secara percuma sehingga tempoh yang akan dimaklumkan kelak dan pihak kami akan terus berusaha untuk membawa jalur lebar ke seluruh negeri Johor selari dengan strategi pelaksanaan inisiatif Jalur Lebar Negara bagi memperluaskan lagi penggunaan jalur lebar ke serata pelusuk negara,” katanya.

Pihak universiti berterima kasih atas usaha ini dan berharap agar para mahasiswa dapat memanfaatkan akses jalur lebar ini dengan sebaiknya sekali gus dapat menikmati hidup yang lebih digital. UTHM juga bersedia membantu apa sahaja usaha bagi meningkatkan kadar penembusan jalur lebar negara khususnya di negeri Johor.