Batu Pahat – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Amiran Technology Sdn. Bhd. telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) pada 1 April lalu bagi meningkatkan peluang kerjasama dalam penyelidikan tenaga hijau khususnya dalam membangunkan produk terbaharu yang dihasilkan oleh syarikat tersebut.

MoU berkenaan telah ditandatangani oleh Naib Canselor, Profesor Ts Dr. Wahid Razzaly dan Presiden Amiran Technology Sdn. Bhd., Amir Ahmad, disaksikan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan, YB Ab Aziz Kaprawi  yang juga Timbalan Menteri Mentor UTHM.

Syarikat Amiran Technology  sebelum ini telah menghasilan produk MyHydro iaitu satu produk yang berfungsi memecahkan air kepada gas hydrogen dan oksigen menggunakan proses elektrolisis terkawal. Gas-gas tersebut kemudiannya disalurkan ke dalam enjin kenderaan melalui rongga masukan udara dan apabila petrol disuntik dan dinyalakan, campuran gas tersebut turut terbakar. Pembakaran petrol akan dibantu dengan pembakaran gas hidrogen yang mempunyai kadar nyalaan yang lebih cepat. Hasil pembakaran bahan api yang keluar daripada ekzos adalah lebih bersih manakala suhu ekzos juga akan menjadi lebih rendah berbanding biasa.

Penghasilan gas tersebut bersifat “in-situ” dan “on-demand”, yang mana tiada tong simpanan gas hidrogen diperlukan. Ia juga dilengkapi dengan “flame arrestor” bagi menggandakan ciri-ciri keselamatan produk tersebut.  Wayar-wayar dan sambungan yang digunakan adalah menepati piawai automotif. Kebarangkalian berlaku sebarang letupan adalah hampir sifar, walaupun kenderaan tersebut mengalami kemalangan.

Justeru itu, dengan termetrinya kerjasama strategik ini UTHM & Amiran Technology telah bersetuju untuk bekerjasama dalam bidang penyelidikan khususnya khidmat pakar bagi meningkatkan mutu produk MyHydro yang telah dihasilkan itu. Kedua-dua pihak juga bersetuju melaksanakan pembangunan operasi dengan adanya Makmal Pembakaran Dalam yang dilengkapi dengan fasiliti dan peralatan pengujian.

MoU ini secara keseluruhannya akan menjadi penanda aras dalam hubungan universiti-industri yang mementingkan kualiti kerja berimpak tinggi dan memenuhi piawaian dalam skop penghasilan produk MyHydro dengan tenaga hijau.