BATU PAHAT – Pelajar ijazah kedoktoran (PhD), Rabi’atul ‘Adawiyah Zayadi dari Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah terpilih mewakili pasukan negara ke pertandingan 1st International Nanotechnology Olympiad (INO) yang diadakan pada 9 hingga 15 April 2018 ini di Pardis Technology Park, Tehran, Iran.

Rabi’atul Adawiyah yang mewakili pasukan Malaysia bersama tiga lagi pelajar iaitu Ho Kah Chun; pelajar PhD dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Joshua Soo Zheyan; pelajar PhD dari Universiti Malaya dan Muhamad Sollehin Idris; pelajar sarjana dari Universiti Malaya merupakan penerima medal emas dalam Olympiad Nanoteknologi Malaysia (ONM).

Turut serta ke pertandingan itu, Ismarul Nizam Ismail dari Pusat Nanoteknologi Kebangsaan (NNC) selaku Pengurus, Dr. Abdul Mutalib Md Jani dari Universiti Teknologi MARA selaku Penasihat dan seorang juri teknikal yang bakal menyertai INO Main Judging Committee iaitu Profesor Madya Dr. Khamirul Amin Matori dari Universiti Putra Malaysia.

Untuk rekod, pada 9 hingga 13 Oktober 2016 lalu Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah menganjurkan Kem Nano sempena Olympiad Nanoteknologi Malaysia (ONM) bagi mencari wakil Malaysia untuk mewakili pasukan negara ke pertandingan INO.

Pertandingan INO ini adalah aktiviti yang julung kali dianjurkan di bawah Pertubuhan Asia Nano Forum (ANF) dan untuk pertama kalinya ia akan dikendalikan oleh Iran Nanotechnology Initiative Council (INIC). Malaysia yang juga merupakan ahli kepada ANF perlu menghantar pasukan Malaysia di bawah kendalian NNC, MOSTI.

Untuk persiapan ke pertandingan ini, NNC telah menganjurkan beberapa siri latihan sepanjang bulan Februari dan Mac lalu bertempat di Putrajaya serta di beberapa pusat penyelidikan institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan rakan industri. Sementara itu bagi menaikkan lagi semangat pasukan ini, Ketua Setiausaha MOSTI turut menyempurnakan upacara penyerahan bendera Malaysia kepada pasukan ini pada 22 Mac lalu. Setakat ini terdapat lapan pasukan yang bakal bertanding di INO iaitu Malaysia, Iran, Korea Selatan, Taiwan, Rusia, Itali, German, dan United Kingdom.

Dalam pertandingan tersebut, pasukan yang bertanding perlu membentangkan satu produk berasaskan nanoteknologi sebagai solusi rawatan air. Antara aspek yang dinilai dalam kriteria pemarkahan ialah ketulenan idea, analisis paten, Technical Readiness Level (TRL), Manufacturing Readiness Level (MRL), penilaian kesihatan, keselamatan dan alam sekitar, ujian makmal dan prototaip, pelan perniagaan serta pelan pemasaran.

Pasukan Malaysia telah menyumbang sebahagian besar masa mereka dalam penyediaan kertas kerja, laporan, pembentangan serta aktiviti makmal dan uji kaji dalam memikul amanah untuk mewakili Malaysia ke pentas antarabangsa dalam konteks sains dan teknologi.

Pihak universiti berharap pasukan Malaysia ini dapat menimba pelbagai ilmu yang bermanfaat untuk diaplikasikan di negara ini sekali gus turut mendapat tempat dalam pertandingan berprestij ini.