Pasukan The PINE, dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang mewakili Malaysia ke Imagine Cup 2018 peringkat Asia Pasifik (APAC) berjaya mengharumkan nama negara apabila muncul juara melalui hasil ciptaan alat pengesan kualiti buah nanas melalui IoT yang diberi nama ‘PINE’. Hasil ciptaan alat ini adalah satu integrasi yang berjaya antara UTHM teknologi dan Microsoft Azure.

The PINE yang terdiri daripada tiga pelajar Tan Yit Peng (24), Yap Xien Yin (24) dan Zulnazim Dzulkurnain (25) dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE) berjaya menjulang nama Malaysia ketika negara ini menjadi tuan rumah buat kali pertama dalam penganjuran kali kedua bagi kejohanan tersebut.

Menurut Ketua Pasukan, Tan Yit Peng, mereka mendapat idea dan nasihat untuk mencipta alat ini dari mentor pasukan, Dr. Chia Kim Seng, pensyarah FKEE.

Jelasnya lagi kebiasaan buah nanas dipotong terlebih dahulu untuk menilai tahap kualitinya tetapi alat ini mampu memudahkan penilaian kualiti buah nanas dengan pantas sekali gus dapat mengurangkan pembaziran buah yang dipotong.

The PINE menjadi salah satu pasukan yang akan mewakili APAC untuk ke kejohanan akhir yang akan berlangsung di Amerika Syarikat (AS) pada Julai akan datang.

“Dengan sokongan penuh daripada pihak universiti, kami akan menambah baik lagi hasil ciptaan ini dan akan berusaha untuk mencipta sejarah kemenangan di sana pula,” tambahnya lagi.

Sementara itu Dekan FKEE, Profesor Dr. Hashim Saim pula berkata pihak fakulti bersedia membantu pasukan ini dalam menambahbaik hasil rekacipta mereka dan berharap The PINE dapat membawa nama UTHM di persada dunia setanding dengan universiti ternama yang lain.

Untuk rekod, Imagine Cup merupakan satu kejohanan teknologi dan inovasi yang terdiri daripada pelajar universiti dan dipertandingkan di setiap benua sebelum berentap di kejohanan dunia berlokasi di Seattle, AS.