BATU PAHAT – Pasukan Malaysia yang diketuai oleh Rabi’atul ‘Adawiyah Zayadi, pelajar ijazah kedoktoran (Ph.D) dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah berjaya meraih pingat emas bagi kategori ‘Sains dan Teknologi’ dalam pertandingan 1st International Nanotechnology Olympiad (INO) yang diadakan pada 9 hingga 15 April baru-baru ini di Pardis Technology Park, Tehran, Iran.

Adawiyah dari Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST), UTHM mewakili pasukan Malaysia bersama tiga lagi pelajar iaitu Ho Kah Chun; pelajar Ph.D dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Joshua Soo Zheyan; pelajar Ph.D dari Universiti Malaya dan Muhamad Sollehin Idris; pelajar sarjana dari Universiti Malaya. Keempat-empat mereka ini juga merupakan penerima medal emas dalam Olympiad Nanoteknologi Malaysia (ONM) sebelum ini.

“Saya dan rakan-rakan amat bersyukur kerana dapat mewakili Malaysia serta membawa pulang pingat emas sekali gus mengharumkan nama negara dalam pertandingan berbentuk ilmiah peringkat antarabangsa ini,” kata Adawiyah yang juga merupakan Setiausaha bagi Persatuan Pelajar Siswazah (GSA) di UTHM.

Pengalaman yang dikutip sepanjang ONM dan INO amat berharga bagi Adawiyah dan rakan sepasukannya kerana mereka dapat menambah ilmu pengetahuan dalam bidang nanoteknologi amnya di samping dapat memperbaiki kemahiran insaniah serta menambah kenalan dari serata dunia.

Pelajar cilik ini berharap kemenangan ini dapat menjadi pemangkin semangat untuknya meneruskan penyelidikan dan pengajian peringkat Ph.D di UTHM terutama dalam bidang nanoteknologi bagi menyumbang kepada negara dan kelestarian alam sekitar khususnya.

Selain itu, pingat emas bagi kategori novelti, perniagaan dan keseluruhan, masing-masing diraih oleh pasukan Korea Selatan, Iran 1 dan Taiwan.

Dalam pertandingan ini, pasukan yang bertanding perlu membentangkan satu produk berasaskan nanoteknologi sebagai solusi rawatan air. Antara aspek yang dinilai dalam kriteria pemarkahan ialah ketulenan idea, analisis paten, Technical Readiness Level (TRL), Manufacturing Readiness Level (MRL), penilaian kesihatan, keselamatan dan alam sekitar, ujian makmal dan prototaip, pelan perniagaan serta pelan pemasaran.

Pasukan Malaysia telah mengusulkan produk mereka iaitu Nano-Palm Frond Titania Fiber (PFTF) Membrane (Reducction of Methylene Blue Dye and Hexavalent Chromium). Nano-PFTF dibangunkan berasaskan  konsep waste to wealth yang mana pelepah kelapa sawit digunakan untuk menghasilkan cellulose acetate  yang  boleh digunakan untuk fabrikasi membran nanofiber bagi merawat air sisa yang mengandungi bahan pencemar organik dan tidak organik.

Turut serta ke pertandingan itu, Ismarul Nizam Ismail dari Pusat Nanoteknologi Kebangsaan (NNC) selaku Pengurus, Dr. Abdul Mutalib Md Jani dari Universiti Teknologi MARA selaku Penasihat dan seorang juri teknikal Profesor Madya Dr. Khamirul Amin Matori dari Universiti Putra Malaysia.

Pertandingan INO ini adalah aktiviti yang julung kali dianjurkan di bawah Pertubuhan Asia Nano Forum (ANF) dan untuk pertama kalinya ia dikendalikan oleh Iran Nanotechnology Initiative Council (INIC). Malaysia juga merupakan ahli kepada ANF dan turut komited menghantar pasukan Malaysia di bawah kendalian Pusat Nanoteknologi Kebangsaan (NNC),  Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.