500 bakal haji sertai Kursus Intensif Haji 2018 anjuran UTHM

BATU PAHAT: Seramai 500 bakal jemaah haji sekitar daerah Batu Pahat telah menyertai Kursus Intensif Haji 2018 (KIH 2018) bagi mendapatkan pendedahan berkaitan ibadah haji yang menjadi rukun Islam...
haji 3

BATU PAHAT: Seramai 500 bakal jemaah haji sekitar daerah Batu Pahat telah menyertai Kursus Intensif Haji 2018 (KIH 2018) bagi mendapatkan pendedahan berkaitan ibadah haji yang menjadi rukun Islam kelima umat Islam.

Program yang bertujuan memberi kefahaman kepada bakal jemaah haji ini dianjurkan oleh mahasiswa Kokurikulum Kursus Berkredit Umrah dan Haji (UQD10301) Seksyen 1 dibawah bimbingan Tuan Haji Abd Khalil Abd Rahim, Pengajar Kokurikulum, Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dengan kerjasama Tabung Haji.

Pengurus Tabung Haji Cawangan Batu Pahat, Tuan Haji Md Ghazali Jonet berkata kursus intensif haji ini merupakan kursus penting untuk memberi kefahaman kepada para bakal Duyufur Rahman sebagai persediaan kepada mereka sebelum mengerjakan haji di tanah suci.

“Saya amat kagum dengan penganjur yang menggalas tanggungjawab yang besar dalam memastikan para peserta dapat mengutip sebanyak mungkin ilmu mengenai ibadah yang menjadi kewajipan umat Islam ini di samping turut menjaga kebajikan para peserta yang majoritinya warga emas serta membuat mereka berasa selesa sepanjang kursus ini berlangsung,” katanya ketika berucap dalam majlis perasmian yang berlangsung di Kompleks Dewan Kuliah Blok G3, UTHM.

Turut hadir dalam majlis tersebut Pengurus Tabung Haji Cawangan Parit Raja, Tuan Haji Jamal Ali.

Menurut Pengarah Program Abdul Hadi Abdul Rahman dari Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar, seramai 23 orang pelajar Kokurikulum Kursus Umrah dan Haji telah menjadi penggerak utama sepanjang dua hari kursus yang melibatkan teori dan praktikal ini berlangsung. Mereka banyak membantu peserta dalam aktiviti pemakaian kain ihram, taklimat pengurusan dan ujian kefahaman serta turut memastikan keselesaan dan keselamatan jemaah terjamin.

“Kekurangan tenaga kerja tidak melemahkan semangat kami untuk terus menyumbang tenaga bagi memastikan kelancaran penganjuran KIH 2018 kali ini. Walaupun kursus ini hanya berlangsung selama dua hari tetapi hubungan yang terjalin antara urusetia dengan peserta sangat erat seperti sebuah keluarga,” katanya.

Program ini merupakan satu kejayaan besar bagi mahasiswa terlibat kerana ia merupakan sebuah program usahasama berimpak tinggi yang melibatkan lebih 500 peserta. Pihak universiti berharap program seumpama ini dapat diteruskan lagi sebagai program tahunan bagi meningkatkan iltizam mahasiswa UTHM khususnya untuk mengerjakan haji di usia muda. Sahsiah yang baik yang diterapkan sepanjang kursus ini juga diharap dapat menjadi amalan kepada mahasiswa seterusnya melahirkan profesional berjiwa besar suatu hari nanti.

Categories
Latest NewsSosial , Kebajikan dan Masyarakat

RELATED ARTICLE