BATU PAHAT: Pasukan UTHM Paragas berjaya mencipta sejarah selaku wakil tunggal dari Johor yang layak ke peringkat separuh akhir di Kejohanan SASEM Tug of War Challenge 2018 baru-baru ini.

Kejohanan tarik tali peringkat kebangsaan tersebut telah dianjurkan oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Sains Sembrong Kluang dengan kerjasama Persatuan Tarik Tali Negeri Johor (PTTNJ) selaku pengadil dan jawatankuasa teknikal pertandingan bersempena Karnival Komuniti SASEM 2018.

Kejohanan SASEM Tug of War Challenge 2018 yang berlangsung selama dua hari itu mendapat penyertaan daripada 22 pasukan yang datang dari pelbagai pelosok negeri.

Pasukan Paragas yang berpengkalan di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) merupakan pasukan tarik tali yang terdiri daripada peserta dari UTHM, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat dan Ayer Hitam, ahli Pasukan Gerak Am, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Batu Pahat dan wakil dari Borneo.

Menurut Jurulatih Pasukan Paragas, Mahmod Munajat, pasukan gabungan ini mula menunjukkan taring apabila berjaya menjuarai Kumpulan C dan menang kelima-lima perlawanan.

“Rentak dan semangat sepasukan mereka terus terserlah apabila berjaya mengenepikan pasukan dari Shah Alam, Selangor pada peringkat suku akhir untuk menempa nama di perlawanan separuh akhir namun dikecewakan oleh pasukan dari Bukit Kapar di peringkat separuh akhir,” ujar beliau.

“Bagi saya, pasukan ini telah menunjukkan prestasi yang amat memberangsangkan sekali gus dapat meyakinkan penggemar tarik tali bahawa Johor mampu menempa nama di kejohanan peringkat kebangsaan,” katanya.

Tambah beliau, segala pengalaman melalui kejohanan kali ini akan dijadikan motivasi untuk terus menggegarkan arena kejohanan tarik tali di peringkat kebangsaan.

Kerjasama dalam membentuk gabungan sebegini harus diteruskan dalam membentuk jati diri dan semangat berpasukan kerana sukan merupakan bidang yang mampu menyatukan masyarakat.


*Laporan ini disediakan oleh Awani Rangers, Mohd Zulfadli Rozali dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan disunting oleh Suriayati Baharom.

**Awani Rangers ialah inisiatif Astro AWANI bagi menggalakkan pelajar Institut Pengajian Tinggi untuk berkongsi cerita serta menghasilkan bahan berita dan informasi dalam era kewartawanan moden.

***AwaniRangers UTHM ialah inisiatif kerjasama strategik Astro AWANI dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.

Sumber : UTHM Paragas tempa nama di Kejohanan Tarik Tali Peringkat Kebangsaan