Awani Rangers UTHMAstro Awani | Mac 11, 2018 12:03 MYT

BATU PAHAT: Negara ‘matahari terbit’, Jepun sememangnya sudah lama dikenali dengan budaya dan sikap mereka yang amat berbudi pekerti tinggi serta saling menghormati antara satu sama lain.

Malaysia yang kini semakin mengorak langkah untuk menjadi negara maju seharusnya belajar dari negara ini.

Susulan itu 20 pensyarah muda universiti awam dari seluruh Malaysia telah dihantar bagi menyertai program Rangkaian Jepun  dan Asia Timur daripada program Pertukaran Pelajar dan Pemuda (JENESYS 2017) yang diadakan pada 30 Januari hingga 5 Februari lalu di Jepun.

Program oleh kerajaan Jepun dan Pusat Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICE) memberi pendedahan kepada pensyarah-pensyarah terhadap sains dan teknologi selain menyisipkan pemahaman berkenaan politik, warisan dan budaya Jepun.

Antara lain, program telah mengubah persepsi awal sesetengah peserta yang pada mulanya berpandangan negara maju seperti Jepun mengabaikan budaya, etika dan warisan tradisional.

Sebaliknya mereka masih menjunjung tradisi dan mesyarakat negara itu yang mempunyai nilai sopan santun yang tinggi berbanding negara maju yang lain.

Selain itu budaya menepati masa dan pembersih yang ditonjolkan oleh masyarakat Jepun membuatkan para peserta begitu kagum walaupun Jepun bukan masyarakat yang mementingkan agama.

Meninjau teknologi Jepun dalam bidang Teknologi Maklumat dan Telekomunikasi (ICT), para peserta program dibawa ke Institut Kebangsaan Teknologi Maklumat danTelekomunikasi (NICT) di Kobe, Hyogo.

Pelbagai kajian terkini yang telah diterbitkan di makalah yang berimpak tinggi dibentangkan kepada para peserta program ini.

Selain itu para peserta juga didedahkan dengan perkembangan ilmu sains foton ketika melawati Pusat Riken Spring-8.

Peserta juga melawat Istana Himeji dan kuil Engyo-Ji bagi mendalami sejarah Jepun.

Reka bentuk istana Himeji yang mampu mengelirukan musuh menggambarkan cara pemikiran rakyat Jepun yang teliti dan holistik dalam mempertimbangkan segala kemungkinan yang akan berlaku.

Pengalaman ketika berada di Jepun ini sememangnya sangat berharga buat semua pensyarah muda ini dan mereka berusaha untuk menerapkan budaya baik rakyat Jepun kepada pelajar mereka selain membuat hubungan penyelidikan antara pusat penyelidikan Jepun dan universiti masing-masing.

Semoga Malaysia juga mampu menjadi hebat seperti negara Jepun bukan sahaja dari segi teknologi, tapi juga dari segi budaya dan peradaban yang tinggi!

* Laporan ini disediakan oleh AWANI Rangers, Anbia Adam dan Zulfadli Rozali dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM). Suntingan oleh Puan Suriayati Baharom.

**Awani Rangers ialah inisiatif Astro AWANI bagi menggalakkan pelajar Institut Pengajian Tinggi untuk berkogsi cerita serta menghasilkan bahan berita dan informasi dalam era kewartawanan moden.

***Awani Rangers UTHM ialah inisiatif kerjasama strategik Astro AWANI dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia(UTHM).

Sumber : #AWANIrangers: Mahu maju beradab cara Jepun