Sudah sampai masanya semakan separuh penggal Rancangan Malaysia Ke-11 diadakan. Dalam semakan itu, agenda pemerkasaan ekuiti pemilikan hartanah Bumiputera adalah perkara penting yang menjadi teras utama. Sesungguhnya, agenda menambah baik peratusan pemilikan hartanah Bumiputera adalah landasan perjuangan yang menjadi asas pengukuhan dalam memperkasa agenda ekonomi Bumiputera.

Agenda berkenaan bukan hanya menambah peratusan ekuiti pemilikan semata-mata, bahkan lebih penting nilai pemilikan hartanah itu. Apalah gunanya ramai Bumiputera yang hanya memiliki hartanah bernilai rendah dan terletak di pedalaman atau lokasi yang kurang strategik. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menekankan perlunya Bumiputera menambah pemilikan hartanah komersial bernilai tinggi.

Dalam usaha menambah ekuiti pemilikan hartanah Bumiputera, Pelan Induk Transformasi Pembangunan Hartanah Wakaf (PIW) sudah disiapkan Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada 2016. Pelan ini mengambil masa kira-kira tiga tahun sejak 2014 dan disiapkan melalui lantikan perunding pakar wakaf dan hartanah di universiti tempatan dan semua Agensi Berkaitan Wakaf (ABW).

Beberapa agensi kerajaan, termasuk Unit Perancang Ekonomi (EPU), JAWHAR, Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) dan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) serta beberapa agensi awam dan swasta lain terbabit dalam tugasan ini.

Kajian terperinci

Pelan Induk Wakaf (PIW) ini disiapkan melalui kajian terperinci yang mencakupi senario perkembangan wakaf di luar dan dalam negara, data hartanah wakaf, dasar kebangsaan berkaitan wakaf dan model pembangunan hartanah wakaf yang boleh dijalankan ABW di seluruh negara. Selain itu, Pelan Induk ini juga menyentuh inisiatif yang boleh dijalankan ABW dalam usaha memajukan tanah wakaf pada masa depan.

Lebih menarik lagi, Pelan Induk ini mengemukakan strategi dan sinergi pemain yang berpotensi besar memajukan tanah wakaf di negara kita. Matlamat akhir adalah menambah baik nilai dan peratusan pemilikan pelbagai jenis hartanah yang strategik dalam kalangan Bumiputera.

Laporan menunjukkan ekuiti pemilikan hartanah Bumiputera berada pada tahap kira-kira 18 peratus berbanding pemilikan hartanah bukan Bumiputera dan syarikat mereka. Peratusan yang rendah ini membabitkan kebanyakannya hartanah kediaman bernilai rendah.

Dilaporkan, di kawasan bandar utama seperti Johor Bahru dan Pulau Pinang, kebanyakan hartanah bernilai tinggi seperti harta industri yang diperuntukkan kepada pembeli Bumiputera hanya dapat dijual sebanyak lima peratus sahaja, manakala 95 peratus lagi terpaksa ditukar kepada bukan Bumiputera supaya dapat dijual di pasaran. Begitu juga dengan hartanah komersial dan sebagainya. Walaupun penukaran ini dikenakan caj dan memberi pulangan kepada kerajaan negeri, tahap pemilikan hartanah Bumiputera tidak berubah.

Bentuk wakaf berkembang

PIW menghurai perkembangan wakaf di negara kita. Bermula dengan wakaf keagamaan seperti masjid, madrasah dan kuburan, bentuk mauquf terus berkembang merangkumi bukan setakat hartanah atau harta tak alih sahaja. Malah, mauquf wakaf membabitkan pelbagai bentuk harta alih dan tak alih, termasuk wakaf tunai, wakaf hotel, wakaf seni, wakaf galeri, wakaf klinik Al-nur, wakaf kedai, wakaf matt, wakaf pusat beli-belah, wakaf sekolah dan pengajian Arab, wakaf anak-anak yatim, wakaf sekolah kulinari, wakaf perladangan sawah dan sawit dan sebagainya.

Maknanya, pelbagai kaum di pelbagai peringkat boleh menikmati peluang kehidupan dan perniagaan yang tersedia daripada ekosistem yang lengkap melengkapi. Seterusnya, PIW juga menyarankan urus tadbir wakaf yang lebih bersifat korporat dan penambahbaikan dalam pengurusan modal insan. Antara lain, pengurusan dan pembangunan tanah wakaf perlu dijalankan secara perkongsian ikhlas.

Ada banyak pemaju dan bank yang sedia berkongsi pengalaman dan modal untuk memajukan tanah wakaf di negara kita. Perkongsian perlu dijalankan secara ‘menang-menang’ menggunakan model pembangunan hartanah yang terbukti berjaya dijalankan di seluruh dunia.

Dalam konteks ini, hanya pengurusan hartanah wakaf yang profesional dan berteraskan tauhid yang dapat memastikan pengembangan nilai hartanah wakaf terbaik tanpa kelemahan ketara dan mengelak gejala rasuah.

Bagi wakaf hartanah pula, pelbagai bentuk mauquf wakaf boleh diwujudkan termasuk wakaf arca, tiang, jambatan, bilik, dewan, ruang tamu, hospital, universiti, hotel dan sebagainya. Malah diperkenalkan juga wakaf bukan hartanah yang membabitkan harta alih seperti loji dan jentera, al-Quran, harta intelek seperti cap dagangan, hak cipta, paten, saham, sukuk dan sebagainya.

Bentuk mauquf yang pelbagai ini banyak di institusi pendidikan tinggi kita yang belum diterokai sepenuhnya. Justeru, tabung wakaf pendidikan tinggi di universiti awam (UA) perlu mengorak langkah meneroka peluang tersedia di hadapan mata. Bukan semata-mata memberi perhatian terhadap bentuk mauquf tunai sahaja.

Di sinilah terletak peranan ahli profesional mengurus tadbir dan mengembang nilai dana wakaf di universiti kita. Ekuiti pemilikan hartanah wakaf merangkumi pelbagai bentuk mauquf hartanah wakaf, termasuk hartanah komersial, institusi, kediaman, industri dan sebagainya. Bermakna kita dapat meningkatkan ekuiti pemilikan bank, restoran, sekolah, universiti wakaf dan lain-lain.

Vakifbank ditubuhkan di Turki pada 1954, manakala Universiti Wakaf Fatih Sultan Mehmet dibina pada 1470. Universiti al-Azhar di Mesir dibina pada 978 Masehi. Di Nigeria, terkenal dengan Hospital Pakar Mata Makkah yang ditaja Yayasan al-Basar. Di Bangladesh pula, ada Universiti Hamdard yang dikelola Yayasan Hamdard dan Rooah Afza. Di Indonesia, Nahdatul Ulamak dan Muhammadiyyah memainkan peranan penting memajukan wakaf pendidikan, keagamaan, perubatan dan sebagainya.

Selepas pelbagai bentuk mauquf wakaf ditadbir urus secara syumul, maka terbentuk satu ekosistem wakaf yang indah dan mensejahterakan. Kemiskinan dapat dibasmi dan kemakmuran dinikmati bersama. Itulah keindahan dan kesejahteraan sebenar Islam yang meliputi sekalian alam.

Penulis adalah Presiden Pertubuhan Profesional Tanah Malaysia 

Sumber : Wakaf perkasa agenda hartanah Bumiputera