Bagi merancakkan lagi aktiviti dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menandatangani memorandum perjanjian (MoA) bersama COMMTEQ (M) SDN. BHD pada 26 Disember 2017 lalu untuk bekerjasama dalam bidang Tenaga Boleh Diperharui dan Teknologi Bersih (Renewable Energy and Clean Technology).

Rentetan itu, satu majlis penyerahan MOA telah diadakan di Dewan Tunku Mahkota Ismail, UTHM pada 18 Januari baru-baru ini. Penyerahan MoA tersebut diwakili oleh Naib Canselor UTHM, Profesor Dr. Wahid Razzaly manakala syarikat COMMTEQ pula diwakili oleh dua orang pengarahnya, Encik Abdul Rashid Shoib dan Tuan Hj. Sheikh Saiful Azam Samsudin. Hadir sama menyaksikan sesi penyerahan tersebut Dekan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP), Profesor Madya Dr. Shahruddin Mahzan.

Bagi merealisasikan hasrat kerjasama ini, syarikat COMMTEQ telah memperuntukkan wang tunai berjumlah RM40 ribu sebagai dana penyelidikan awal kepada Pusat Kajian Tenaga dan Persekitaran Industri (CEIES), FKMP.  Projek pertama yang akan dilaksanakan menerusi dana ini ialah pembangunan Low Speed Vertical Axis Wind Turbine (VAWT) dan Hybrid Energy Systems.

Mengikut MoA yang termeterai, kedua-dua pihak akan bekerjasama dalam  menyediakan khidmat kepakaran dan perundingan di samping membantu dan meneroka peluang-peluang baru untuk pengkomersilan hasil kajian tersebut. Dana penyelidikan yang diterima ini adalah suatu pengiktirafan kepada CEIES dan UTHM mengenai kemampuan para penyelidiknya dalam bidang kajian berkaitan tenaga.

Untuk rekod, COMMTEQ merupakan sebuah syarikat kejuruteraan multidisiplin yang ditubuhkan pada tahun 2008. Syarikat ini menyediakan perkhidmatan dalam produk dalam bidang pengurusan dan kecekapan tenaga, teknologi hijau di samping bidang bidang ICT.

Sebelum MoA ini termeterai, COMMTEQ pernah dilantik oleh UTHM sebagai penasihat industri kepada kumpulan fokus penyelidikan Energy Technologies di FKMP pada tahun 2015 hingga 2017. Dalam tempoh tersebut, COMMTEQ telah membantu UTHM untuk membangunkan sistem iSCADA bagi pemantauan dan pengurusan tenaga elektrik.

Kini, COMMTEQ juga aktif memainkan memainkan peranan dalam persekitaran perniagaan yang semakin bergantung kepada Internet-of-Things (IOT) dan Revolusi Indsutri 4.0 (I.R 4.0) selaras dengan matlamat pembangunan mampan negara.

UTHM berharap kerjasama industri seumpama ini dapat diteruskan pada tahun-tahun akan datang bagi meningkatkan lagi kecemerlangan R&D universiti.

FB_IMG_1516247337440 FB_IMG_1516247334575 FB_IMG_1516247328441 FB_IMG_1516247331622 FB_IMG_1516247325082 FB_IMG_1516247311922