Teroka proses memasak guna dapur solar

Fazurawati Che Lah fazurawati@hmetro.com.my Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus komited dalam usaha mempersiapkan penuntut dengan pelbagai input berguna sepanjang empat tahun...
Proses memasak dilakukan penuntut menggunakan dapur solar.
Proses memasak dilakukan penuntut menggunakan dapur solar.
Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my

Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus komited dalam usaha mempersiapkan penuntut dengan pelbagai input berguna sepanjang empat tahun pengajian di fakulti ini.

Komitmen itu turut membabitkan tindakan strategik ke arah mendepani pasaran dunia kerjaya masa depan yang bersifat global dan memerlukan pelbagai set kemahiran baru dikuasai.

Menerusi Analisa Litar Elektrik 1 iaitu kursus teras bagi program Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik, ia adalah Kaedah Pembelajaran Berasaskan Masalah Berorientasikan Projek (PoPBL) yang menjadi teras di Aalborg University, Denmark.

Pensyarah kursus Profesor Madya Dr Afandi Ahmad yang juga Penolong Naib Canselor (Perancangan Strategik dan Perhubungan Korporat) UTHM yang menjalankan kajian kes di sana percaya bahawa kaedah itu berupaya mencabar penuntut dan membentuk potensi yang unggul.

Ini kerana siswa didedahkan dengan permasalahan yang nyata selain perlu diselesaikan secara berkumpulan.

Katanya, menerusi PoPBL, penuntut diminta menyelesaikan permasalahan dan meneroka peluang bagaimana proses memasak dalam aktiviti luar dapat dilakukan menggunakan dapur solar saja.

Kajian dan produk yang dihasilkan ini boleh dimanfaatkan pelbagai pihak khususnya mereka yang gemar berkelah dan berkhemah bersama keluarga dan rakan.

“Projek dapur solar ini meletakkan syarat untuk disempurnakan secara berkumpulan dengan ahli hampir 10 orang dalam tempoh 10 minggu di bawah bimbingan minimum pensyarah kursus.

“Mereka diasah dan dinilai menerusi tiga domain utama pembelajaran merangkumi aspek kognitif, afektif dan psikomotor dengan pelbagai aktiviti antaranya ialah menguruskan projek, mengenalpasti masalah, mencadangkan penyelesaian, melakukan analisa dan simulasi litar, mencadangkan model serta mengujinya.

“Selain itu, reka bentuk dapur solar turut memerlukan penuntut menggunakan kos yang paling minimum dan memanfaatkan sumber terpakai,” katanya.

Dr Afandi berkata, pelbagai reka bentuk seperti parabolik, persegi dan hibrid dibangunkan dan bahan terpakai seperti rangka payung serta tin biskut turut dimanfaatkan untuk menghasilkan dapur solar terbaik.

Tambahnya, lebih menarik, penuntut tahun pertama semester pertama yang mengikuti kursus itu nyata teruja dengan pengalaman baru yang dianggap mencabar.

“Menurut mereka, kaedah ini tidak didedahkan ketika di peringkat asasi, matrikulasi dan tingkatan enam, yang memerlukan mereka memahami falsafah penting iaitu belajar untuk belajar (learn to learn).

“Mereka turut mengulas bahawa menerusi PoPBL ini, bukan sahaja hal ehwal akademik yang mereka pelajari tapi tidak kurang pentingnya ilmu mengurus dan mengetuai kumpulan.

“Menerusi aktiviti seperti ini, mereka juga berjaya menajamkan kemahiran berkomunikasi dan sesi pembentangan berkala, sekali gus membantu mereka memperbaiki diri masing-masing,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 January 2018 @ 1:40 PM
Categories
AkademikKejuruteraan Elektrik dan Elektronik

RELATED ARTICLE