Awani Rangers UTHM, Astro Awani | Diterbitkan pada Januari 28, 2018 15:52 MYT

BATU PAHAT: Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah melaksanakan Pembangunan Sistem Kelas Pintar (Smart Classroom) bagi menambah baik sistem pengajaran dan pembelajaran (P&P) di universiti ini.

Kerjasama strategik yang terjalin antara UTHM, Syarikat BenQ dan Projector Doctor berjaya membangunkan kelas pintar dengan sistem pengurusan bilik darjah (Classroom Management System) yang mesra pengguna.

Ia bertujuan menghasilkan kepelbagaian aktiviti dalam bilik darjah sama ada secara kolaboratif mahupun secara individu.

Selain dilengkapi set TV Interaktif berteknologi 4K bagi kemudahan pengajaran, kelas pintar di UTHM turut menyediakan kemudahan interaktif di antara bilik-bilik darjah mahupun dari pelbagai lokasi pilihan menggunakan aplikasi sidang video.

Pelaksanaan kelas pintar tidak hanya bergantung kepada kecanggihan peralatan teknologi semata-mata, malah turut melihat kepada persembahan susun atur dan pelaksanaan pembelajaran yang lebih fleksibel.

Konsep PAK21 pada dasarnya bukan sahaja memberi penekanan terhadap Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) bahkan turut memberi fokus kepada pelaksanaan pengajaran yang mampu mewujudkan pemikiran kreatif, kritis dan berupaya menyelesai masalah serta berkebolehan untuk berkomunikasi dengan efektif.

Selain membangunkan prasarana yang kondusif serta menepati ciri-ciri PAK21, Pusat Pembelajaran Atas Talian Tahap Global juga berperanan menyediakan latihan dan khidmat nasihat berkaitan e-pembelajaran sejajar dengan Lonjakan 9 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia Pengajian Tinggi (2015 – 2025).

Bagi tahun 2017, pusat ini telah berjaya melaksanakan hampir 50 sesi latihan dan kursus berkaitan e-pembelajaran dengan penglibatan sebahagian besar staf akademik UTHM.

Latihan dan kursus yang disediakan memberi pendedahan langsung kepada kaedah pembangunan bahan e-pembelajaran secara pantas dan juga perkembangan teknologi terkini dalam pendidikan.

Apa yang lebih penting untuk disampaikan adalah bagaimana pensyarah boleh menjadikan teknologi masa kini sebagai pemangkin kepada proses pengajaran dan pembelajaran (P&P).

Kepakaran yang ada di Pusat Pembelajaran Atas Talian Tahap Global UTHM mendapat pengiktirafan daripada institusi pendidikan yang lain setelah diberi kepercayaan untuk membangunkan sistem pendaftaran peserta secara Augmented Reality (AR) bagi Persidangan Pembelajaran Abad ke 21 anjuran Jabatan Pendidikan Negeri Johor pada bulan April 2017.

Pada Kolokium STEM Zon Selatan 2017 anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia yang berlangsung pada bulan November 2017 yang lalu, sistem yang sama turut dimanfaatkan.

Naib Canselor UTHM, Profesor Dr Wahid Razzaly percaya bahawa Pusat Pembelajaran Atas Talian Tahap Global adalah salah satu entiti terpenting dalam menyokong proses P&P secara menyeluruh di UTHM.

Pembelajaran Teradun (Blended Learning) turut menjadi fokus Pusat Pembelajaran Atas Talian Tahap Global UTHM dan salah satu kaedah terkini adalah pelaksanaan P&P secara atas talian sepenuhnya iaitu sesi P&P antara pensyarah dengan pelajar diadakan tanpa bersemuka atau berada di dalam bilik kuliah.

Pusat ini juga dipertanggungjawabkan untuk membangunkan kursus di bawah inisiatif ‘Kursus Dalam Talian Terbuka Secara Besar-Besaran’ atau Massive Online Open Courseware (MOOC).

Sehingga kini, sebanyak 25 kursus MOOC telah dibangunkan secara usahasama melibatkan kesemua fakulti dan pusat pengajian di UTHM.

* Laporan ini disediakan oleh AWANI Rangers UTHM.

** AWANI Rangers ialah inisiatif Astro AWANI bagi menggalakkan pelajar Institut Pengajian Tinggi berkongsi cerita serta menghasilkan bahan berita dan informasi dalam era kewartawanan moden.

Sumber : Sistem Kelas Pintar kini dibangunkan di UTHM