Prof. Madya Dr Syed Dawilah Al Edrus wakafkan harta intelek bernilai RM42 ribu

Sejumlah 707 buah buku bernilai RM42,000 telah diwakafkan oleh Profesor Madya Dr. Syed Dawilah Al Edrus, Felo Institut Ahli Sunnah Wal Jamaah, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) kepada...
IMG_20180114_091058

Sejumlah 707 buah buku bernilai RM42,000 telah diwakafkan oleh Profesor Madya Dr. Syed Dawilah Al Edrus, Felo Institut Ahli Sunnah Wal Jamaah, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) kepada Perpustakaan Tunku Tun Aminah dalam satu majlis penyerahan yang berlangsung pada 4 Januari baru-baru ini.

Buku-buku tersebut adalah merupakan koleksi intelek peribadi beliau selama 42 tahun yang dikumpulkan sejak dari tahun 1970 bermula belajar di Maahad Muar, diikuti Universiti Malaya (1974 – 1978), Universiti Birmingham England (1983) dan Universiti Scotland (1990), juga semasa perkhidmatan beliau sebagai pensyarah di Universiti Sains Malaysia (1983-2007), Universiti Brunei Darussalam (2007) dan terakhir di UTHM 2007-2017. Kini, beliau telah menamatkan perkhidmatannya sebagai Pensyarah di universiti ini pada 9 Disember 2017 lalu.

Antara buku istimewa yang diwakafkan beliau adalah buku yang berjudul ‘ Kitab al-Ma’al-waraqi wal-ard al-najmiya’ (The Book of Silvery Water and Starry Earth) berasal dari manuskrip yang berusia 677 tahun iaitu karya Ibn Umayl Abdullah Muhammad (300H/912 M) atau dikenali dengan nama Ibn Umail al-Tamimi. Pengarang merupakan seorang pakar sains kimia Mesir, hanya selepas 428 tahun (pada 1340 M) baru manuskrip ini disusun lengkap.

Karya ini menjadi rujukan utama dalam sains kimia di negara Barat pada zaman mediaval Eropah (Abad 5 – 15 M). Karya ini telah diterjemahkan ke dalam banyak bahasa termasuklah Greek, Sepanyol, Itali, German, Peranchis dan Russia. Ibn Umayl al-Tamimi dan karyanya ini lahir sezaman dengan al-Khawarizmi (780-850 M) yang juga merupakan pakar matematik dan pengasas ilmu al-gebra.

Lain-lain karya termasuklah buku terbitan tahun 1894 berjudul ‘Descriptive Dictionary of British Malaya’ dan disusun semula oleh Frank Swettenham pada 1906. Beliau merupakan Gabenor Koloni Inggeris terakhir dan Pesuruhjaya Tinggi Persekutuan Tanah Melayu. Buku ini merupakan kompilasi diskriptif rekod peranan dan pengaruh penjajah Inggeris terhadap politik sosial dan ekonomi peribumi Melayu di tanah air mereka.

Buku terbitan tahun 1912 ditulis oleh Clair Tisdall di India berjudul ‘ A Word to the Wise Being A Brief Defence of the Sources of Islam’. Buku ini ditulis sebagai komentar jawapan kepada karya Imam Fakhrul Islam berjudul ‘Bayan al-Haqq wal Sidqq al-Mutlaq’ dan karya Maulana Muhammad Ali berjudul ‘ The Divine Origin of Holy Quran’. Era buku ini ditulis semasa wacana dan perdebatan paradigma ilmu Islam dan Barat di India berlaku dengan hebatnya.

Wakaf harta intelek berbentuk buku ilmiah ini merupakan amalan tradisi keintelektualan di zaman kegemilangan Islam khususnya di era pemerintahan Khalifah al-Ma’mun (218 H/833 M) apabila perpustakaan pertama di dunia ‘Bayt al-Hikmah’ (The House of Wisdom) ditubuhkan pada 215 H/830 M di Kota Baghdad Iraq.

Semoga usaha mewakafkan harta intelek berbentuk buku ini menjadi pembuka tirai jendela ilmu yang lebih signifikan dan efektif dalam usaha menyemarakkan tradisi keilmuan di UTHM dalam menelusuri usia kelahiran 25 tahunnya dan dapat memberi manfaat khususnya kepada para pelajar dan khalayak akademik keseluruhannya.

C43I6839

Categories
Berita Umum

RELATED ARTICLE