BATU PAHAT – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah memeterai perjanjian kerjasama (MoU) dengan syarikat TLT Power Sdn Bhd (TLT) bagi membangunkan kepakaran, kreativiti, penyelidikan, teknologi dan inovasi untuk Pembelajaran Abad Ke-21.

Majlis menandatangani perjanjian yang berlangsung di Bilik Kuliah Pintar, UTHM pada 21 Januari ini diwakili oleh Naib Canselor UTHM, Profesor Dr. Wahid Razzaly manakala Kumpulan TLT Power Sdn Bhd diwakili oleh Pengarah Urusannya, Dato’ Fahri Zaini Aminudin.

Menurut Profesor Dr. Wahid, perjanjian kerjasama ini akan dapat membantu penyelidik di UTHM melaksanakan tranformasi dalam empat perkara dalam menjayakan Pengajaran dan Pembelajaran 4.0 (PdP 4.0) sebagaimana saranan Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Idris Jusoh baru-baru ini yang menekankan aspek mereka bentuk semula ruang pembelajaran, kurikulum boleh lentur dan organik, pedagogi abad ke-21 serta teknologi PdP yang terkini.

Menurut beliau lagi, UTHM sentiasa mengalu-alukan sebarang kerjasama dengan pihak luar sama ada pihak industri atau agensi-agensi kerajaan yang lain untuk bersama-sama universiti melaksanakan transformasi bidang pendidikan serta lain-lain bidang kejuruteraan dan teknologi bersesuaian dengan kepakaran yang dimiliki.

“Melalui MoU ini kedua-dua pihak bersetuju untuk menjalankan kerjasama dalam pelbagai aspek seperti membangunkan kepakaran, idea, kreativiti, penyelidikan dan inovasi.”

“Kita turut bekerjasama dalam melaksanakan aktiviti berbentuk tanggungjawab sosial korporat (CSR) serta memberi khidmat nasihat dan kepakaran kepada komuniti setempat. Ini dibuktikan dengan pemberian sumbangan berupa perkakasan Kelas Pintar (Smart Clasroom) iaitu sebuah Interactive Flat Panel BenQ 75” kepada Sekolah Kebangsaan Sir Ibrahim Keluang bagi menyokong Blueprint Agenda Pendidikan Kementerian Pertahanan 2018 – 2022,” katanya.

Turut diadakan dalam majlis sama, Majlis Penyerahan Sumbangan Endowmen oleh syarikat TLT Power Sdn Bhd berjumlah RM80 ribu yang berupa perkakasan Kelas Pintar iaitu dua buah Interactive Flat Panel BenQ 75” dan 10 buah tablet windows Lenovo.

Menurut Dato’ Fahri Zaini sumbangan endowmen ini merupakan CSR dari syarikatnya kepada UTHM bagi menghargai kerjasama dan kepercayaan yang telah terjalin selama ini.

“Kami menghargai hasrat UTHM untuk melangkah jauh dalam bidang Pembelajaran Abad ke Ke-21 sehingga ke arena global. Kami juga mengharapkan kerjasama ini menjadi permulaan kepada sinergi syarikat dan UTHM untuk meneroka pasaran bidang pendidikan yang lebih luas,” katanya.

IMG-20180121-WA0000 IMG-20180121-WA0003