KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) — Jepun menyasarkan tiga universiti tempatan sebagai rakan bagi mewujudkan sebuah pusat latihan menghasilkan tenaga kerja mahir di Malaysia sekiranya ia memenangi bidaan kontrak Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR), projek infrastruktur terbesar di Asia Tenggara.

Ia akan menjadi teras pemindahan teknologi dan pelan pembangunan modal insan Jepun bagi membolehkan rakyat Malaysia dan Singapura memperoleh teknologi kereta api laju Shinkansen yang dihasilkan Jepun lebih 50 tahun lepas.

Menurut Duta Besar Jepun ke Malaysia, Dr Makio Miyagawa, ini penting bagi membolehkan Malaysia dan Singapura melaksanakan operasi sistem tersebut di peringkat negara masing-masing.

Beliau berkata institusi pengajian seperti Universiti Teknologi Malaysia dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia di Johor serta Universiti Teknikal Malaysia di Melaka, berada di laluan jajaran HSR dan merupakan lokasi paling sesuai sebagai pusat latihan dan kecemerlangan.

“Pada masa sama, teknologi yang akan dijana di universiti-universiti terbabit juga dapat diterap dan dilaksanakan dalam bidang teknologi maju lainnya dan tidak hanya terhad kepada kereta api laju. Ini dapat melonjakkan lagi keseluruhan tahap teknologi Malaysia serta Singapura,”katanya kepada Bernama dalam satu temu bual.

Mengulas lanjut, Dr Miyagawa berkata lebih 70 rakyat Malaysia telah dipelawa serta mengikuti pengajian di Jepun sebagai usaha awal memperolehi serta memahirkan diri dalam teknologi berkaitan termasuk penyelidik, jurutera, pakar Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat dan pegawai kerajaan negeri.

Lawatan sambil belajar mereka juga adalah platform terbaik serta kondusif bagi pemindahan berkesan aspek teknologi, perkakasan serta perisian seperti kemahiran manusia dalam pengurusan ketepatan masa sistem kereta api Shinkansen yang akan beroperasi di Malaysia dan Singapura.

“Program lawatan sedemikian merupakan peluang terbaik untuk bakal-bakal pengendali, jurutera dan pakar teknikal untuk mempelajari bagaimana kerajaan dan syarikat-syarikat Jepun dapat menghasilkan teknologi ini serta kejayaan memperluaskannya ke pelbagai sektor industri di Jepun.

“Kami turut melaksanakan pendekatan pendidikan sama di beberapa negara yang telah menggunakan teknologi kami bagi kereta api laju mereka,”kata Duta Besar itu.

Malah, sewaktu berkunjung ke Johor baru-baru ini, Dr Miyagawa berkata beliau sempat berkongsi mengenai kepentingan penubuhan sebuah pusat latihan yang baik di Johor dan Melaka supaya pengendali jajaran di negeri terbabit akan menikmati peluang sama menyertai sistem dan industri HSR di kedua-dua negara.

Beliau turut ditanya mengenai kecekapan operasi sistem Shinkansen yang sering dikaitkan dengan budaya ketekunan, menepati masa serta dedikasi kerja rakyat Jepun dan bagaimana budaya itu dapat dipindahkan kepada rakyat Malaysia.

Dr Miyagawa berkata :”Terdapat ramai pelajar Malaysia yang pernah mengikuti pengajian di universiti-universiti Jepun dan telah menyelami etika budaya kerja kami. Malah, sekembali mereka ke Malaysia, ramai yang menyumbang kepada pembangunan Malaysia.

“Saya sendiri pernah menemui sebahagian besar daripada mereka dan yakin menerusi pengurusan Shinkansen, rakyat Malaysia mampu menguasai etika seumpamanya dan dapat mengendalikan sistem HSR sebagaimana dilakukan oleh rakyat Jepun.

“Pengalaman sedemikian itu pada akhirnya akan menjadi sesuatu yang amat berharga bagi pertumbuhan masa depan Malaysia dan bagi Jepun, kami gembira dapat menyaksikan mereka berupaya meneruskan kemahiran dan ilmu pengetahuan tersebut,” katanya.

Beliau turut menegaskan kepentingan faktor-faktor sedemikian yang wajar diutamakan dalam pemilihan pembida akhir bagi projek HSR itu daripada aspek perbandingan kos bagi setiap kilometer.

“Penekanan harus diberikan terhadap SSP — ‘speed, safety and punctuality’ (kelajuan, keselamatan dan ketepatan masa). Jepun telah menghasilkan kereta api laju dan sudah menyempurnakan operasi HSR sejak lebih 50 tahun tanpa sebarang kemalangan maut.

“Penambahbaikan secara berterusan selama lebih 50 tahun itu berjaya mentransformasikan Shinkansen sebagai sistem kereta api laju paling maju, terpantas dan selamat di dunia,”katanya.

Bidaan antarabangsa bagi HSR yang bertujuan mengurangkan tempoh perjalanan dari Kuala Lumpur ke Singapura kepada 90 minit berbanding empat sehingga lima jam, dijadual dikemukakan menjelang pertengahan tahun ini dan pembida yang berjaya akan diketahui menjelang akhir tahun ini.

Projek usaha sama antara Malaysia dan Singapura yang bernilai antara RM50 bilion dan RM60 bilion itu dijadual memulakan operasi menjelang 2026.

— BERNAMA

Sumber :Jepun Sasar Universiti Tempatan Sebagai Pusat Latihan HSR