AZLINA OTHMAN
25 JANUARI 2018

KOR Siswa Bomba di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Batu Pahat menjadi perintis pertama institusi pengajian tinggi (IPT) di negeri ini diterapkan ilmu kebombaan dalam kalangan mahasiswa.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Othman Abdullah berkata, berikutan itu, seramai 118 mahasiswa IPT awam berkenaan dijangka akan ditauliahkan pada 22 Februari depan menjadi Pegawai Bomba Bantuan (PBB).

Menurutnya, kumpulan tersebut diberi latihan asas selama empat semester iaitu 100 jam kredit membabitkan langkah keselamatan kebombaan, pencegahan, asas memadam kebakaran dan perundangan.

“Setelah PBB ditauliahkan maka kita akan wujudkan Balai Bomba Bantuan dalam UTHM, jadi mereka boleh bersedia di situ dan kita akan bayar elaun sebagaimana yang diterima PBB yang lain iaitu satu jam RM6.

“Pendedahan awal ini secara tidak langsung menarik minat mereka untuk menyertai pasukan bomba setelah tamat pengajian masing-masing selain memanfaatkan ilmu dan kemahiran untuk membantu masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan Majlis Perhimpunan Tahunan JBPM Johor di Dewan Serbaguna Kompleks Kuarters Bomba Johor.

Othman bergambar bersama anggotanya pada Majlis Perbarisan Tahunan 2018.
Othman bergambar bersama anggotanya pada Majlis Perbarisan Tahunan 2018.

Dalam pada itu, Othman berkata, pihaknya menyasarkan kira-kira 4,000 orang awam terlibat dalam Pasukan Bomba Komuniti sebagai langkah mengembangkan peranan masyarakat bersama JBPM secara lebih berkesan.

“Sehingga kini, sebanyak 30 Pasukan Bomba Sukarela (PBS) membabitkan seramai 929 ahli yang sudah mendapat latihan, selain pihaknya turut mengambil inisiatif menggalakkan penyertaan lebih ramai orang awam menerusi aplikasi mudah alih, Bomba Johor.

“Masyarakat adalah yang paling hampir dengan lokasi kejadian, seeloknya mereka lebih mengetahui dan memahami kaedah asas kebakaran supaya dapat bertindak dan memberi respons awal ketika berhadapan insiden kecemasan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 10,563 panggilan kecemasan berhubung kes kemalangan dan bencana alam sepanjang tahun lalu, jumlah tersebut meningkat berbanding 10,339 panggilan yang diterima pada 2016.

“Daripada jumlah panggilan itu, sebanyak 3,584 merupakan panggilan kebakaran; 6,556 adalah panggilan penyelamatan dan 315 panggilan untuk tugas-tugas khas serta 105 panggilan palsu,” katanya.

Sumber : 118 mahasiswa jadi PBB