BATU PAHAT: Bagi menyemai semangat kesukarelawan dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dipilih menjadi tuan rumah bagi penganjuran Kursus Kepimpinan Sukarelawan Kebangsaan Zon Selatan bagi tahun 2017 yang berlangsung pada 15 hingga 17 Disember lalu.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Madya Dr Asri Selamat, kursus yang diuruskan oleh Pejabat Hal Ehwal Pelajar, UTHM dengan kerjasama pihak Majlis Sukarelawan Universiti-Universiti Malaysia (MASKUM) ini melibatkan penyertaan 100 peserta dari seluruh IPT di Malaysia.

Tambahnya, objektif utama penganjuran kursus ini adalah bagi mendekatkan para sukarelawan IPT dengan  masyarakat luar sekali gus mewujudkan nilai-nilai University-Community Engagement (UCE) dan hubungan baik di antara universiti dan penduduk setempat.

“Apa yang menarik dalam kursus ini ialah di samping dimotivasikan dengan semangat kesukarelawanan, para peserta turut melakukan aktiviti amal seperti ‘Buy & Donate‘ yang mana hasil kutipan aktiviti tersebut terus disalurkan kepada rumah-rumah kebajikan yang dipilih dan juga mangsa banjir,” katanya.

Sementara itu, peserta kursus Hazim Halim pula menjelaskan program ini dapat mendedahkan dirinya berkaitan kerja-kerja kesukarelawanan dengan lebih mendalam selain mampu melatih peserta untuk berkomunikasi dengan lebih baik dengan masyarakat.

Baginya seorang sukarelawan itu bukan hanya dapat menyumbang daripada segi tenaga dan wang ringgit tetapi mereka juga boleh menggunakan apa sahaja kaedah yang ada untuk membuat amal kebajikan.

_________________________________________________________________

*Laporan ini disediakan oleh Awani Rangers, Nurul Atiqah Rohaizar dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan disunting oleh Suriayati Baharom.

**Awani Rangers ialah inisiatif Astro AWANI bagi menggalakkan pelajar Institut Pengajian Tinggi berkongsi cerita serta menghasilkan bahan berita dan informasi dalam era kewartawanan moden.

**Awani Rangers UTHM ialah inisiatif kerjasama strategik Astro AWANI dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

 

Sumber : UTHM komited lahir ramai sukarelawan melalui Kursus Kepimpinan