Bagi menghargai sumbangan pihak media massa khususnya media Johor, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui Pejabat Pemasaran dan Komunikasi Korporat (PPKK) telah menganjurkan Majlis Penghargaan UTHM bersama Media Johor pada 11 Disember lalu bertempat di Hotel New York Hotel, Johor Baharu.

Majlis berkonsepkan makan malam ini diadakan bertujuan untuk menzahirkan tanda terima kasih dan penghargaan kepada pihak media atas segala promosi, publisiti dan liputan yang diberi sepanjang tahun 2017. PPKK juga mengambil kesempatan ini untuk memperkenalkan kepimpinan baharu universiti bagi menjalin hubungan erat antara pimpinan tertinggi UTHM dengan pihak Media. Di samping itu, penganjuran majlis ini juga adalah sebagai satu kesinambungan usaha dalam membina jalinan komunikasi yang berkesan agar maklumat berkaitan universiti dapat disampaikan secara cepat, berkesan dan tepat melalui media.

Pertemuan lebih dua jam tersebut diisi dengan sesi ramah mesra dan penyampaian anugerah penghargaan kepada enam penulis akhbar universiti yang aktif menulis di akhbar-akhbar tempatan. Mereka terdiri daripada Profesor Madya Dr Afandi Ahmad dengan penerbitan 13 artikel, Profesor Dr. Ismail Omar dengan 15 artikel, Encik Firkhan Ali Hamid Ali dengan 25 artikel, Allahyarham Profesor Madya Dr. Ahmad Esa dengan 11 artikel, Puan Suriayati Baharom dengan 48 laporan berita dan Encik Ku Hasnan Ku Halim dengan dua artikel termasuk jemputan sebagai panel untuk rancangan radio dan televisyen tempatan.

Menurut Penolong Naib Canselor (Perancangan Strategi dan Perhubungan Korporat) Profesor Madya Dr. Afandi Ahmad, tahun ini UTHM berjaya menerbitkan 70 artikel berbentuk penulisan rencana daripada 280 penerbitan di media cetak.

“Diharap pada tahun akan datang lebih banyak lagi artikel mengenai pencapaian UTHM dalam bidang pendidikan, penyelidikan mahupun khidmat masyarakat dapat diwar-warkan kepada umum. Pihak universiti amat berterima kasih terhadap promosi dan publisiti yang telah diberikan oleh pihak media selama ini dan kami berharap kerjasama seperti ini akan terus terjalin dengan lebih kukuh pada masa akan datang,” katanya.

Turut hadir ke majlis tersebut Naib Canselor UTHM, Profesor Dr. Wahid Razzaly bersama isteri; Pendaftar UTHM, Encik Abdul Halim Abdul Rahman dan Ketua-Ketua Biro Media Johor.