BATU PAHAT – Kursus Kokurikulum Umrah dan Haji (UQD10301) Seksyen 1 di bawah Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menghimpunkan seramai 346 peserta bagi menyertai Program Simulasi Haji Perdana Sekolah Menengah 2017 (SHPSEM 2017) yang berlangsung di Masjid Sultan Ibrahim, kampus induk pada 16 November lalu.

Program di bawah bimbingan Tuan Haji Abd Khalil Abd Rahim, Pengajar Kokurikulum ini merupakan program kolaboratif UTHM bersama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Batu Pahat, Tabung Haji Batu Pahat serta Pusat Islam, UTHM. Program yang dipengerusikan oleh Ustaz Md Faridhilmi Muslimin, Ketua Unit Pendidikan Islam, PPD Batu Pahat ini melibatkan pelajar tingkatan empat dari 30 buah sekolah di sekitar daerah Batu Pahat. Penganjur menggalas tanggungjawab yang besar dalam memastikan para peserta dapat mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran yang dipelajari di bilik darjah secara praktikal dan simulasi di medan.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Tuan Haji Mohd Khairul Latif, Penolong Pengarah Pendidikan Islam Elektif KKQ, Jabatan Pendidikan Negeri Johor. Ketua Mutawwif yang dilantik merupakan seorang yang berautoriti kerana pemegang tauliah PEKTA (Pengkursus Ibadah Haji Tanah Air). Atas pengalamannya selaku penceramah haji dan umrah, Ustaz Haji Mohd Shahli Mohd Said, telah berjaya memberi bimbingan yang amat mudah difahami kepada para pelajar sebelum mereka memulakan simulasi ibadah haji masing-masing.

Pelajar yang telah lengkap berpakaian Ihram dari sekolah masing-masing, berniat umrah di Miqat yang telah ditetapkan kerana mereka melakukan Haji Tamattuk. Usai amali umrah, taklimat haji bermula disususli amali rukun haji yang diserikan dengan bacaan khutbah Arafah oleh seorang wakil pelajar, Muhammad Irfan Iman Abd Samad pelajar tingkatan 4, SMK Dato’ Syed Esa. Simulasi Khutbah Arafah itu dibacakan dengan penuh perasaan sehingga hampir keseluruhan peserta mengalirkan air mata keinsafan.

“Saya tidak percaya bahawa pembaca khutbah sebentar tadi merupakan pelajar tingkatan empat. Bacaannya sangat menyentuh hati setiap orang yang mendengarnya,” kata Tuan Haji Md Ghazali Jonet, Pengurus Tabung Haji Daerah Batu Pahat.

Pelajar meneruskan simulasi ibadah Haji mereka dengan mengutip anak batu di Muzdalifah, sebelum bergerak ke Mina untuk amali lontaran Jamrah Kubra. Selepas bertahallul awal, para pelajar melengkapkan lontaran jamrah untuk hari ke 11, 12 dan 13hb. Zulhijjah sebelum bergerak ke Dataran Masjid Sultan Ibrahim untuk melakukan ibadah Tawaf dan Saie. Maka, berakhirlah simulasi ibadah haji mereka untuk program ini.

“Saya dapat melihat para peserta begitu seronok melakukan ibadah ini secara praktikal, berbanding belajar secara teori semata-mata di bilik darjah. Diharapkan program ini dapat dijadikan sebagai program kerjasama rutin tahunan bagi memberi lebih kefahaman sekali gus memupuk minat peserta menunaikan rukun Islam yang kelima,” kata Ustaz Haji Nordin Mohammad , Penyelaras Program, merangkap guru pengiring dari Sekolah Menengah Dato’ Syed Esa.

Program usahasama berimpak tinggi ini merupakan suatu jalinan dan jaringan peranan dalam memasyarakatkan UTHM bersama komuniti. Sudah terang lagi bersuluh, profesionalisme dalam tugasan dapat dimaksimumkan kerana didasari oleh kerjasama dan muafakat erat semua pihak yang terlibat. Semoga kerjasama ini dapat dilestarikan ke arah pembelajaran sepanjang hayat pelajar dan pembangunan sahsiah mapan generasi muda yang berjiwa agama.

haji kecil