Mahasiswa Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Nurul Hanan Jaafar bergelar juara setelah berjaya menewaskan 10 peserta terakhir dalam Pertandingan Intervarsity Young Motivator Competition 2017 (I-MAC 2017) peringkat kebangsaan yang berlangsung pada 26 November baru-baru ini di Dewan Sultan Ibrahim, kampus induk.

Penganjuran I-MAC 2017 kali ini melibatkan penyertaan seramai 37 peserta dari 19 universiti awam (UA). Daripada jumlah tersebut 10 peserta berjaya mara ke pusingan akhir sebelum tiga daripadanya dipilih sebagai Juara, Naib Juara dan Tempat Ketiga.

Naib Johan disandang oleh Muhammad Syafiq Mohd Sakri dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) manakala tempat ketiga jatuh kepada Nur Afiqah Mahmud dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Sementara itu, M Shahadat Ali Nordin dari Universiti Utara Malaysia pula memenangi Anugerah Persembahan Terbaik dan kesemua pemenang ini membawa pulang hadiah berupa wang tunai, trofi serta sijil penyertaan.

I-MAC merupakan Program Tahunan Majlis Kaunseling dan Kerjaya Universiti-universiti Awam Malaysia (MAKUMA) dan pada tahun ini UTHM telah diberi penghormatan untuk menjadi tuan rumah.

Program ini diadakan bertujuan untuk melahirkan pelapis-pelapis motivator dalam kalangan mahasiswa UA yang boleh menjadi pembimbing dan ikon kepada pelajar dan melatih mahasiswa supaya lebih berkeyakinan dalam memotivasikan individu.

Untuk rekod, pertandingan seumpama ini mula diperkenalkan pada tahun 2015 dan Universiti Putra Malaysia (UPM) pada masa itu telah dipilih sebagai penganjur. Peserta UTHM telah mencatat sejarah pertama dengan merangkul gelaran juara dengan mengalahkan 10 finalis daripada 34 peserta yang bertanding.

Nurul Hanan yang mempertaruhkan isu bertemakan ‘Cinta’ menganggap pertandingan seumpama ini memberinya ruang dan peluang untuk mengasah kebolehannya dalam bidang motivasi.

“Saya berterima kasih kepada pihak universiti kerana memberi saya peluang menyertai pertandingan ini untuk meningkatkan lagi keyakinan diri bercakap di hadapan khalayak sekali gus dapat memotivasikan diri dan orang lain untuk membentuk kehidupan yang lebih baik,” katanya yang membawa pulang wang tunai bernilai RM2 ribu.

young motivator