Batu Pahat – Bagi membantu proses transformasi global pengangkutan rel di Malaysia, Pusat Kecemerlangan Industri-Rel (ICoE-Rel), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menerima geran bernilai RM1 juta daripada Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia (KPT).

Replika Cek bernilai RM1 juta tersebut telah diserahkan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datin Paduka Ir. Dr. Siti Hamisah Tapsir kepada Naib Canselor UTHM, Profesor Dr. Wahid Razzaly ketika menyempurnakan upacara Majlis Perasmian Research and Innovation Festival (R I) yang berlangsung pada 22 November baru-baru ini di Dewan Sultan Ibrahim, kampus induk.

UTHM telah dipilih oleh KPT untuk menjadi universiti peneraju bagi ICoE-Rel kerana sebelum ini universiti ini telah mempunyai kepakaran dan pengalaman mengendalikan program Sarjana Sains Kejuruteraan Pengangkutan Rel sejak 2012.

Untuk rekod, ICoE-Rel merupakan pusat latihan dan penyelidikan industri rel yang dipertanggungjawabkan untuk pengumpulan, penganalisisan, penilaian dan pengurusan data serta penyebaran hasil penyelidikan dalam bidang rel untuk kegunaan agensi kerajaan dan bukan kerajaan di Malaysia. Selain itu, Pusat Kecemerlangan ICoE-Rel juga bertindak sebagai platform utama untuk menjalin hubungan dan kolaborasi penyelidikan di peringkat nasional dan antarabangsa.

Justeru itu, KPT yakin UTHM dan ICOE-Rel dengan kerjasama erat daripada industri pengangkutan rel dalam negara dan antarabangsa akan berjaya meletakkan Malaysia sebagai hub pendidikan teknologi tinggi yang dinamis bidang rel di peringkat antarabangsa menjelang 2025.

Sementara itu, di dewan yang sama Datin Paduka Ir. Dr. Siti Hamisah turut menzahirkan sokongan KPT terhadap bidang penyelidikan dan inovasi universiti dengan meninjau ruang pameran produk inovasi sekali gus beramah mesra dengan para penyelidik yang terlibat dalam R I Festival 2017.

Penganjuran festival ini menjadi platform kepada universiti untuk mengenalpasti hasil penyelidikan dan inovasi yang berkualiti serta mempunyai potensi untuk diketengahkan ke pertandingan dan pameran penyelidikan di dalam mahupun luar negara, seterusnya dikomersilkan bagi kegunaan industri, agensi kerajaan mahupun masyarakat.

Menurut Profesor Dr. Wahid, R I Fest pada kali ini telah berjaya mengumpul sebanyak 174 produk untuk dipertandingkan mengikut kategori staf, pelajar serta sekolah dengan penilaian berteraskan tiga bidang iaitu Applied Research, Fundamental Research dan Innovative Product Research. Penyertaan tersebut melibatkan 110 staf akademik dan 54 pelajar UTHM selain 10 penyertaan sekolah sekitar Johor yang mewakili produk masing-masing.

“Bilangan penyertaan seumpama ini menunjukkan bahawa R I Fest 2017 merupakan satu platform yang sangat dipercayai bagi para penyelidik bagi mengetengahkan hasil penyelidikan dan inovasi masing-masing.”

“Saya juga yakin penganjuran program ini akan dapat menyuntik semangat para penyelidik untuk terus berusaha gigih dalam meningkatkan lagi kecemerlangan penyelidikan di UTHM sekali gus dapat menyemarakkan budaya penyelidikan, inovasi dan pengkomersilan dalam kalangan staf akademik, penyelidik dan juga pelajar UTHM,” katanya.

rel