Program “Sentuhan Komuniti Santuni Alam” hayati kepentingan memelihara alam sekitar

Bagi menghayati kepentingan memelihara alam sekitar, seramai 61 orang pelajar tahun ketiga Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Pusat Pengajian Diploma, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bersama empat orang pensyarah yang...
aktiviti menebang pokok di kawasan kubur

Bagi menghayati kepentingan memelihara alam sekitar, seramai 61 orang pelajar tahun ketiga Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Pusat Pengajian Diploma, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bersama empat orang pensyarah yang diketuai Encik Muhammad Hanafi Asril Rajo Mantari serta Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Puan Mariam Abdul Hamid telah menyertai Program Sentuhan Komuniti Santuni Alam di Pulau Pangkor pada 8 hingga 10 November lalu.

Program anjuran Jabatan Kejuruteraan Mekanikal yang diketuai oleh Shahrul Malek Faizsal Shahrul Hairi selaku pengarah program mendapat kerjasama daripada Pejabat ADUN Pangkor. Program komuniti yang dirancang ini adalah bagi melatih pelajar-pelajar CeDS berinteraksi dengan masyarakat luar kampus seterusnya dapat berkongsi ilmu yang dipelajari kepada komuniti setempat. Melalui program ini juga, penghayatan terhadap kepentingan pemeliharaan alam sekitar dan ekosistemnya dapat diterapkan agar para pelajar lebih menghargai, bersesuaian dengan nama Program Sentuhan Komuniti Santuni Alam.

Antara pengisian program ini ialah Pertandingan Steam Powered Boat yang melibatkan pelajar Sekolah Kebangsaan Seri Pengkor, aktiviti mengindahkan kawasan pantai dan pekan, serta aktiviti membersihkan masjid di pekan Pulau Pangkor. Selain itu, terdapat juga taklimat berkaitan kerjaya dan hala tuju pengajian yang disampaikan oleh Encik Ahmad Faiz Mat Zian @ Mat Zain selaku pensyarah di Jabatan Kejuruteraan Mekanikal kepada peserta program.

Program ini telah berjaya menggerakkan peranan mahasiswa dalam menabur bakti kepada masyarakat sekali gus menjadi wadah mempromosikan UTHM kepada warga Pulau Pangkor. Aktiviti-aktiviti yang diadakan juga berjaya memupuk kesedaran terhadap penjagaan alam sekitar serta kepentingan pemeliharaannya. Selain itu, program yang diadakan bersama pihak sekolah ini juga telah membuka minat para pelajar untuk menerokai ilmu berkaitan sains dan teknologi melalui program yang berbentuk aplikasi konsep termodinamik (Steam Powered Boat).

Perlaksanaan program ini mendapat respon yang sangat positif daripada Guru Besar SK Seri Pangkor, Tuan Haji Pauzi Ab. Latif yang mahukan kesedaran tentang penerapan ilmu dalam kalangan pelajar sekolah agar mereka lebih bersemangat dalam mencapai cita-cita. Program komuniti sebegini harus diteruskan bagi memperluaskan lagi peranan mahasiswa dalam menggerakkan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan yang membawa manfaat kepada pelajar sekolah dan juga penduduk setempat. Peserta juga mendapat pengalaman mengurus program dan ruang untuk berkomunikasi dengan pelbagai lapisan masyarakat sebagai latihan dalam memantapkan lagi kemahiran insaniah dan keyakinan diri untuk berhadapan dengan cabaran dunia pekerjaan sebenar.

aktiviti menebang pokok di kawasan kubur

 

Categories
Sosial , Kebajikan dan Masyarakat

RELATED ARTICLE