Batu Pahat – Sebanyak 50 pasukan mengesahkan akan bersaing pada edisi pertama Kejohanan Hoki UTHM 6 sebelah Bawah 11 tahun (Lelaki Perempuan) Piala TNB sempena meraikan Majlis Konvokesyen Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) kali ke-17 yang dijadualkan berlangsung pada 13 14 Oktober 2017 di Padang Hoki UTHM.

Kejohanan adalah julung-julung kali diadakan anjuran Kelab Hoki UTHM dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB), Persatuan Hoki Johor (PHJ) dan Pusat Sukan UTHM ini melibatkan 2 kategori Gold Pool dan Plate Pool yang menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM1,700.

Pengarah kejohanan Shahrul Md Rizal Shamshuri berkata, sokongan daripada penaja utama Tenaga Nasional Berhad (TNB) , Persatuan Hoki Johor dan penaja-penaja yang lain telah membuktikan bahawa projek pembangunan hoki yang dianjurkan mendapat perhatian dan keyakinan dari semua pihak.

Katanya, sambutan dan penyertaan terhadap kejohanan ini adalah amat menggalakkan dari sekolah-sekolah sekitar dan luar negeri Johor sehingga penganjur terpaksa menolak beberapa penyertaan pasukan berikutan penyertaan terhad kepada 50 pasukan sahaja.

Bagi kategori Gold Pool (lelaki) hadiah lumayan berjumlah RM500 menanti juara beserta piala iringan, sijil, dan medal. Tempat kedua menerima RM300, sijil dan medal, ketiga berjumlah RM200 beserta sijil dan medal dan keempat menerima sijil dan medal. Bagi kategori Gold Pool (perempuan), juara bakal membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM400 beserta piala iringan, sijil dan medal, tempat kedua menerima RM200, sijil dan medal, ketiga berjumlah RM100 beserta sijil dan medal dan keempat menerima sijil dan medal.

Untuk pasukan-pasukan yang tewas dalam perlawanan pusingan pertama akan dikumpulkan dan dimasukkan ke dalam Plate Pool . Pihak penganjur juga menyediakan hadiah bagi pasukan yang bertanding didalam kategori ini dimana juara, naib juara, tempat ketiga dan keempat bakal menerima sijil dan medal.

Pihak penganjur juga menambahkan koleksi kemenangan individu bagi pemain-pemain yang menampilkan persembahan yang cemerlang di sepanjang kejohanan ini seperti Pemain Terbaik Kejohanan (L/P), Penjaring Terbanyak (L/P) dan Penjaga Gol Terbaik Kejohanan (L/P). Dengan adanya tambahan hadiah kemenangan individu ini, diharap dapat memberi suntikkan kepada setiap pemain-pemain menonjolkan bakat dan kemahiran ke tahap yang lebih tinggi lagi.

Menurutnya, atas dasar semangat kesukanan yang tinggi dari pihak penganjur, pasukan-pasukan yang bertanding dan peminat hoki tempatan matlamat hanyalah satu iaitu untuk memperkasakan pembangunan hoki akar umbi yang akan meningkatkan kualiti permainan dan mencungkil bakat baru hoki tempatan yang lebih besar di Malaysia.

hoki konvo 17