Hari ini, kadar pendermaan organ selepas kematian hanyalah sekitar 1.0 penderma bagi setiap juta penduduk Malaysia. Ini memberikan isyarat bahawa pengetahuan dan kesedaran masyarakat kita masih cetek. Jika dibandingkan dengan beberapa negara lain misalnya Korea Selatan, 9.96 penderma bagi setiap juta penduduk (pmp), United Kingdom (21 pmp) dan Sepanyol (39.7 pmp). Jelasnya, usaha berterusan mesti dilakukan dan digarap oleh semua pihak, agar sesuatu yang lebih baik dapat dicapai demi kebaikan bersama.

Bulan Oktober pada setiap tahun diangkat sebagai Minggu Kesedaran Pendermaan Organ demi memberikan peluang kedua kepada yang memerlukan, iaitu mereka yang sedang berada dalam senarai menunggu. Laporan menunjukkan sehingga 31 Ogos tahun ini, lebih 21,000 pesakit berada dalam senarai menunggu organ kebangsaan dengan majoritinya merupakan pesakit kegagalan buah pinggang selain hati, jantung dan paru-paru.

Membuktikan bahawa Universiti bukanlah hanya gedung eksklusif yang membincangkan hal ehwal akademik atau tentang lulus peperiksaan, Majlis Kepimpinan Pelajar (MKP) Kolej Perwira, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang diketuai oleh Saudara Muhammad Hazem Bin Che Hashim, meneruskan kesinambungan mengangkat isu derma organ sebagai agenda penting untuk tahun kedua, selepas kejayaan pelaksanaan pada tahun 2016. Telah berlangsung pelbagai acara antara 5 hingga 7 Oktober 2017, bertempat di Kolej Perwira UTHM antaranya ialah Bacaan Yassin dan Solat Hajat Derma Organ, Ceramah Kesedaran Derma Organ, Bicara Inspirasi Kasih bersama waris penerima dan penderma organ, Pertandingan Mewarna Derma Organ dan kemuncak acara ditutup dengan acara Larian Ikrar Derma Organ (LIDO 2017).

LIDO 2017 telah berjaya menghimpunkan 628 peserta dari seluruh negara dan lebih menariknya juga turut disertai oleh beberapa peserta antarabangsa menerusi larian sejauh 7 kilometer di pesekitaran hijau kawasan kampung di Parit Raja. Menerusi larian ini, sejumlah RM 666 berjaya dikumpul menerusi para peserta larian dan disumbangkan kepada Persatuan Kebajikan Pesakit-pesakit Hemodialisis Darul Takwa Batu Pahat. Sumbangan ini telah disampaikan oleh YBhg Profesor Madya Dr Asri Bin Selamat, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni bersama Pengetua Kolej Perwira UTHM, Dr Mohd Noor Bin Abdullah kepada Pengerusinya, Encik Hasan Habidin Bin Timin. Dalam ucapannya, YBhg TNCHEPA menzahirkan sokongan penuh agar acara seperti ini diteruskan demi memastikan Universiti terus menjadi juara dalam isu-isu masyarakat. Selain itu, beliau juga mahu mahasiswa terus mendekati masyarakat demi kebaikan semua pihak.

Dalam pada itu, turut mengulas kejayaan penganjuran program ini ialah YBhg Profesor Madya Dr Afandi Bin Ahmad, Penolong Naib Canselor (Perancangan Strategik dan Perhubungan Korporat) UTHM, yang diundang sebagai moderator dalam Slot Inspirasi Kasih bersama waris penerima dan penderma organ. Beliau menjelaskan bahawa kesungguhan mahasiswa membawa agenda derma organ ini adalah luar biasa. Dalam forum ini, ahli panel telah berkongsi pengalaman peribadi mereka sebagai waris penerima dan penderma organ yang turut mengundang suasana pilu dan sebak seisi dewan. Ternyata perkongsian seperti ini berupaya membina kesedaran akan peri pentingnya kefahaman berkaitan penderamaan organ. Beliau juga berpendirian bahawa usaha ini wajar diberikan kredit kerana pemilihan isu derma organ ini adalah suatu tindakan yang strategik, memandangkan bilangan penderma sebenar selepas kematian di Malaysia adalah jauh lebih kecil, iaitu hanya 620 walaupun program perdermaan dimulakan di Malaysia pada 1975. Menerusi aktiviti seperti ini mahasiswa bukan sahaja berpeluang menyelami isu sebenar masyarakat tetapi berupaya melatih diri mereka dalam aspek kemahiran penyelesaian masalah kompleks serta memperkukuh lagi kemahiran insaniah (KI) dalam diri mereka. Ini juga adalah selari dalam usaha melahirkan graduan holistik dan seimbang seperti yang dinyatakan menerusi lonjakan pertama, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pengajian Tinggi).

Akhirnya, menjadi harapan agar kejayaan penganjuran LIDO 2017 berupaya meningkatkan pengetahuan dan kesedaran dalam diri mahasiswa khususnya dan masyarakat amnya serta melihat derma organ bukanlah lagi perkara yang menakutkan. Terima kasih juga diucapkan kepada semua pihak yang memberikan sokongan dalam pelbagai aspek termasuk penajaan sumber kewangan bagi menjayakan LIDO 2017. Turut menjadi harapan agar falsafah erti hidup ini adalah dengan memberi terus meresap ke dalam jiwa semua yang terlibat. Penting juga untuk sama-sama merasai denyut bahawa “kita diajar untuk terus memberi bukanlah kerana kita memiliki segala-galanya, tetapi agar kita tahu apa rasanya andai kita tidak punyai apa-apa”.

larian organ