Kumpulan Penyelidik Functional Composite Structure (FCS), Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP) berjaya mengadakan Seminar Penyelidikan FCS-Sel Fuel Oksida Pepejal (SOFC) 2017. Kumpulan Penyelidik FCS yand diketuai oleh Prof. Madya Dr. Hamimah Abd.Rahman bersama dengan ahli kumpulan yang terdiri daripada Prof. Madya Dr. Sufizar Ahmad, Prof. Madya Dr. Hariati Mohd Taib dan En. Mohd Azham Azmi telah menjadikan seminar ini sebagai platform penting untuk memantau perkembangan penyelidikan berkaitan FCS-SOFC khususnya di Malaysia.

Seminar yang diadakan pada 02 Ogos 2017 bertempat di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) ini melibatkan seramai 13 orang penyelidik dan 35 orang pelajar pasca siswazah dari UTHM, UKM, UiTM Perlis, UiTM Shah Alam, UniMAP, UTM dan USM. Matlamat utama seminar adalah untuk perkongsian ilmu, idea dan maklumat penyelidikan dalam bidang FCS-SOFC di antara universiti-universiti yang terlibat.

Seminar penyelidikan berkaitan SOFC ini merupakan acara tahunan yang telah bermula sejak tahun 2014 yang pertama kalinya dianjurkan oleh UKM, diikuti oleh UTHM pada tahun 2015 dan UiTM Perlis pada tahun 2016. Sehubungan itu, seminar pada tahun 2017 ini adalah penganjuran kali kedua oleh kumpulan penyelidik FCS, FKMP di mana sambutan dan sokongan yang diterima daripada penyelidik lain dalam bidang FCS-SOFC sangat menggalakkan dengan pertambahan penyertaan yang ketara berbanding tahun sebelumnya.

Pembentangan hasil penyelidikan oleh pelajar pasca siswazah dalam seminar ini dapat membantu para penyelidik merangka dan merancang langkah penyelidikan seterusnya. Segala pengetahuan yang diperolehi daripada seminar ini mampu membantu menggerakkan aktiviti penyelidikan untuk masa hadapan dan mengeratkan lagi kerjasama penyelidikan di peringkat kebangsaan antara kumpulan FCS-SOFC UTHM dan universiti yang terlibat. Kerjasama yang telah terjalin ini akan sentiasa berterusan dan dikekalkan untuk pembangunan penyelidikan FCS-SOFC.

fcsseljpg_550x367_5692d078568365eeaaafb2f74536747a image005_550x367_fccf8efd8567efd95256682de856d9c5