Hasil projek dua pasukan dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah berjaya mendapat penarafan Emas dalam Konvensyen Team Excellence, Wilayah Selatan, 2017 yang telah berlangsung pada 1 hingga 2 Ogos lalu bertempat di Hotel Ramada Plaza Melaka.

UTHM telah diwakili oleh dua Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK Pusat Tanggungjawab (PTj) iaitu Kumpulan Q-PPD daripada Pusat Pengajian Diploma (PPD) dengan membentangkan tajuk projek “Kelewatan Memasukkan Markah Latihan Industri”, manakala Kumpulan Renaissance daripada Pusat Kesihatan Universiti (PKU) dengan tajuk projek “Pengambilan Darah Mengambil Masa Yang Lama”.

Hasil dari projek kedua-dua kumpulan iaitu ‘Industrial Training Assessment System (ITAS)’ dan ‘Blood Sampling Kit’, yang berjaya mendapat penarafan Emas ini membawa makna yang tersendiri kepada Pusat Tanggungjawab (PTj) masing-masing kerana projek sebegini memberi ruang dan peluang untuk diadaptasikan kepada persekitaran kerja yang lebih mantap, terancang dan efisien.

Untuk rekod, sejarah sebelum ini menyaksikan kumpulan KIK UTHM sering meraih anugerah dalam setiap penyertaannya dalam konvensyen ini contohnya pada tahun 2016, UTHM turut memenangi dua anugerah emas yang diraih hasil kolaborasi kumpulan Mosfet dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE) dengan tajuk projek “Permohonan Komponen Elektronik Secara Online” dan Kumpulan BOSS dari Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV) dengan projek “Kesukaran Penyediaan Rancangan Mengajar Harian (RMH) dalam Program Latihan Mengajar (PLM).”

Ini membuktikan bahawa universiti ini juga mempunyai produk dan hasil penyelidikan yang mampu diketengahkan dalam usaha meningkatkan lagi inovasi dan penambahbaikan terhadap perkhidmatan yang diberikan kepada pelanggan.

kik