BATU PAHAT – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menerima sumbangan endowmen 50 ribu daripada Miaow Miaow Food Products Sdn Bhd dalam satu Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) yang diadakan pada 3 Julai baru-baru ini bertempat di kampus induk universiti.
Sumbangan wang tersebut adalah untuk dana endowmen universiti bertujuan menyokong aktiviti penyelidikan, pembangunan dan pendidikan untuk pekerja, latihan, ujian makmal dan kerja perundingan MIAOW MIAOW. Manakala MoA yang dimeterai pula bertujuan menjalinkan kerjasama sebagai rakan industri dalam aktiviti yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.
Sesi menandatangani memorandum perjanjian ini diwakili oleh Naib Canselor UTHM, Profesor Dr. Wahid Razzaly manakala Miaow Miaow Food Products Sdn Bhd pula diwakili oleh Pengarah Urusannya, Encik Chink Poh Cheng. MoA ini turut disaksikan oleh Pendaftar UTHM, Encik Abdul Halim Abdul Rahman dan Pengarah Eksekutif syarikat tersebut, Encik Ch’ng Poh Tee.
Untuk rekod, Miaow Miaow Food Products Sdn Bhd adalah salah satu daripada syarikat-syarikat subsidiari Kumpulan Miaow Mioaw. Syarikat ini adalah salah satu pengeluar makanan ringan terkemuka di Malaysia dan melibatkan pasaran di seluruh Malaysia. Selain daripada pemborong dan peruncit tempatan, liputan perniagaan syarikat ini juga tertumpu di saluran trafik tinggi seperti pasar raya besar, pasar raya, stesen minyak, serta rangkaian kedai-kedai mudah.  Produk Miaow Miaow juga turut melebarkan sayapnya ke pasaran antarabangsa termasuk negara-negara di Timur Tengah, Asia Pasifik and Afrika. Pada masa kini, syarikat ini sedang giat menembusi pasaran Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah.
Miaow Miaow Food Products Sdn Bhd telah diakreditasikan sijil ISO 9001:2000 and HACCP bagi kedua-dua sistem operasi perniagaan dan sistem pengurusan keselamatan dan kualiti makanan. Penambahbaikan yang berterusan dan pelaburan dalam modal insan dengan usaha gigih telah memastikan produk syarikat ini mematuhi keperluan ketat yang diperlukan oleh sistem pengurusan kualiti (ISO 9001: 2000) dan piawaian keselamatan makanan (HACCP).
UTHM melihat jalinan kerjasama dengan Miaow Miaow Food Products Sdn. Bhd. ini boleh mempromosi dan merancakkan lagi aktiviti penyelidikan dan pendidikan, ujian makmal serta kerja perundingan antara dua pihak. Kerjasama ini juga akan meningkatkan lagi pembangunan dan pelaksanaan penyelidikan bersama yang memberi tumpuan kepada pembangunan produk dan proses, penjimatan tenaga atau pemuliharaan serta makanan dan bahan-bahan yang berkaitan kepada produk. Di samping itu, kerjasama ini akan turut melibatkan latihan termasuk pembangunan kurikulum, penempatan pekerja industri, pendidikan kakitangan melalui Akreditasi untuk Belajar Pembelajaran Terdahulu (APEL) dan pelajar untuk aktiviti terpilih.