Program Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Aeronautik (Penerbangan Profesional) dengan kepujian (BDC), dan Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Aeronautik (Penyenggaraan Pesawat Terbang) dengan kepujian (BDM) di bawah Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menerima Perakuan Akreditasi Penuh oleh Agensi Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualifications Agency, MQA)
Perakuan akreditasi ini adalah penting agar program yang dilaksanakan telah mencapai standard jaminan kualiti yang ditetapkan oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan mematuhi kerangka kelayakan Malaysia.
Program Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Aeronautik (Penerbangan Profesional) dengan kepujian, dan Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Aeronautik (Penyenggaraan Pesawat Terbang) dengan kepujian adalah program peringkat pra siswazah yang ditawarkan di Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan dibawah kendalian Jabatan Kejuruteraan Aeronautik (JKA).
Pelajar-pelajar yang mengikuti program ini akan didedahkan kepada bidang teknologi kejuruteraan aeronautik dan lebih spesifik kepada latihan mendapatkan lesen penerbangan profesional bagi program BDC dan latihan mendapatkan lesen penyenggaraan pesawat terbang bagi program BDM. Pada akhir pengajian nanti, pelajar akan memperolehi ijazah sarjana muda  beserta lesen dalam bidang masing-masing.
Secara amnya tempoh pengajian bagi kedua-dua program ini adalah selama empat tahun dan mempunyai 12 semester keseluruhan iaitu lapan semester lazim dan empat semester pendek dengan kredit keseluruhan iaitu 145 kredit. Buat masa ini pelajar akan menghabiskan dua tahun setengah di UTHM bagi komponen akademik dan seterusnya untuk satu tahun setengah lagi pelajar akan mengikuti komponen pelesenan di institusi latihan yang bertauliah.
Komponen pelesenan penerbangan profesional dijalankan di sekolah penerbangan yang telah mendapat pengiktirafan (Approved Flying Training Organization, AFTO) dari Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (Department of Civil Aviation, DCA), sementara bagi komponen pelesenan penyenggaraan pesawat terbang dijalankan di pusat latihan bertauliah (Approved Training Organization, ATO) yang juga mendapat pengiktirafan DCA.
UTHM amnya mengharapkan perakuan akreditasi penuh yang diperolehi daripada MQA ini akan menjadikan program BDC dan BDM ini lebih berdaya saing di peringkat nasional dan juga antarabangsa.