Kluang – Sejumlah 24 pasukan universiti daripada enam negara telah mengesahkan tempat ke Pertandingan Debat Varsiti Antarabangsa Bahasa Cina UTHM Ke-5.

Majlis pelancaran pertandingan dwi tahunan ini telah disempurnakan oleh Datuk Tee Siew Kiong, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Negeri Johor di Kluang Mall pada 11 Mac baru-baru ini. Beliau juga telah mengumumkan akan menyumbang wang bernilai 10 ribu bagi menanggung sebahagian kos penganjuran pertandingan. Turut hadir Dr. Jamil Abd Baser selaku wakil rasmi Timbalan Naib Canselor (HEPA).

Menurut pengarah pertandingan Saudari Lim Mei Yi, beliau menyaksikan peningkatan bilangan pasukan yang mengesahkan penyertaan kali ini berbanding dengan yang lepas iaitu daripada 16 pasukan universiti dari tiga negara pada tahun 2015 kepada 24 pasukan universiti daripada enam negara tahun 2017. Pengesahan penyertaan diterima daripada 14 pasukan daripada Malaysia manakala 10 pasukan daripada luar negara iaitu Singapura, China, Macau, Taiwan dan Australia.

Pertandingan yang dianjurkan oleh Sekretariat Debat (Bahasa Cina) Pejabat Hal Ehwal Pelajar UTHM akan bermula pada 3 hingga 9 April ini diharapkan dapat menyumbang kepada hubungan baik antara universiti yang bertanding sama ada dalam bidang akademik ataupun pembangunan insaniah.