Ujian Transformasi Minda Mahasiswa (UtMM) Berjaya Direalisasi Demi Manfaat Pelajar FKEE

Ke arah menambahbaik pengalaman pembelajaran yang lebih berkesan di Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE), Ujian Transformasi Minda Mahasiswa (UtMM) membuka tirai 2017 sebagai insiatif baharu FKEE yang berjaya...
UtMM

Ke arah menambahbaik pengalaman pembelajaran yang lebih berkesan di Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE), Ujian Transformasi Minda Mahasiswa (UtMM) membuka tirai 2017 sebagai insiatif baharu FKEE yang berjaya direalisasikan bagi semua mahasiswa Sesi 2016/2017. UtMM yang juga terkandung dalam Pelan Halatuju Pembentukan Profesionalisme Mahasiswa FKEE yang bakal dilancarkan dalam masa terdekat telah berjalan dengan jayanya pada 19 Februari 2017 lalu dengan diduduki oleh 311 orang pelajar.

Pelaksanaan UtMM ini adalah hasil garapan bersama pasukan penggerak yang ditubuhkan di FKEE yang terdiri daripada pensyarah dan penolong jurutera dengan diketuai oleh Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Alumni (HEPA), Dr Maisara Binti Othman yang juga mendapat sokongan penuh Dekan FKEE sendiri, Prof Madya Dr Afandi Bin Ahmad.

UtMM yang dijalankan mengandungi enam (6) komponen penilaian kompetensi bagi Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Etika Moral, Matematik Kejuruteraan, Asas Kejuruteraan Elektrik Elektronik dan Pengetahuan Am. Pada akhir ujian, tahap pencapaian siswa siswi digambarkan menerusi matrik sesawang labah-labah dengan tahap 6 merupakan pencapaian terbaik. Dengan adanya rumusan tahap pencapaian ini pada awal menyertai FKEE memberi peluang kepada siswa dan siswi untuk mengenalpasti kekuatan dan kelemahannya serta mengambil tindakan penambahbaikan kualiti berterusan (CQI) agar kelak menjadi mahasiswa yang berdaya saing. Menariknya ujian ini juga disemak oleh Penasihat Akademik (PA) masing-masing dan ini akan membolehkan PA lebih mengetahui tahap pencapaian pelajar di bawah penasihatan masing-masing.

Dekan FKEE, Prof Madya Dr Afandi Bin Ahmad dalam ulasannya menyebut bahawa ujian ini tepat pada masanya dalam usaha untuk melahirkan HUSSEIN yang seimbang ilmu dan akhlak yang turut disebut oleh YBhg Prof Dr Wahid Bin Razzaly, Menjalankan Fungsi Naib Canselor UTHM dalam Amanat Naib Canselor sempena Minggu Haluan Siswa (MHS) baru-baru ini. Dalam pada itu, hal ini juga adalah selari dengan aspirasi pelajar yang digariskan menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pengajian Tinggi) – PPPM (PT).

Para pelajar yang ditemubual oleh Kelab Kejuruteraan Elektrik (KKE) selepas menduduki ujian juga menyambut baik ujian ini dan menjelaskan bahawa inisiatif ini adalah positif dan mesti disokong. Menerusinya banyak kelemahan diri khususnya dalam perkara-perkara asas dapat diketahui lebih awal dan tindakan menambahbaik boleh diambil dengan segera. Semoga usaha murni FKEE ini dapat diteruskan dengan jayanya dalam usaha membawa jenama FKEE UTHM yang lebih gemilang dan terbilang, seiring dengan tema FKEE iaitu Transformasi Anda Bermula Di Sini, FKEE UTHM!

transfomarsi

Categories
AkademikKejuruteraan Elektrik dan Elektronik

RELATED ARTICLE