Pilih antara Endowmen, Wakaf di UA

Oleh Profesor Dr Ismail Omar YANG mana satu pilihan hati – endowmen atau wakaf? Begitulah soalan yang ditanya seorang sahabat di universiti awam (UA). Persoalan endowmen atau wakaf juga...
Pilih antara Endowmen, Wakaf di UA
Pilih antara Endowmen, Wakaf di UA

YANG mana satu pilihan hati – endowmen atau wakaf? Begitulah soalan yang ditanya seorang sahabat di universiti awam (UA). Persoalan endowmen atau wakaf juga menjadi penting diberi penjelasan kepada masyarakat supaya mereka memahami dan seterusnya mempunyai kesedaran untuk berwakaf.

Dana adalah sumbangan yang diberikan dengan pokok disimpan dan dipelihara, manakala manfaat atau faedahnya sahaja yang boleh digunakan sebagai pendapatan organisasi. Endowmen adalah dana yang terhad dengan syarat pokoknya tidak digunakan dan yang boleh digunakan hanyalah manfaat atau faedahnya dalam jumlah yang sedikit, kira-kira lima peratus bagi menjaga pokoknya (mauquf).

Konsep endowmen adalah serupa dengan wakaf kerana apa yang disumbangkan sebagai pokok tidak digunakan tetapi hanya manfaat atau faedahnya sahaja. Misalnya, sebidang tanah (mauquf) yang diwakafkan, nilai tanah berkenaan tidak boleh diganggu seperti dijual beli dan sebagainya. Sebaliknya, apabila disewakan, hanya sewa (manfaat) yang diterima sebagai manfaat boleh digunakan untuk orang yang layak menerimanya (mauquf alaih). Sudah tentu, wakaf mempunyai syarat yang perlu dipatuhi.

Wakaf pendidikan tinggi boleh disumbangkan oleh alumni yang bersedia membantu universiti awam. Sesungguhnya, potensi sumber wakaf begitu luas dan belum diterokai sepenuhnya di negara kita. Menurut Laporan Islamic Financial News, pada 2013, nilai aset global bagi wakaf kira-kira AS$1 trilion (RM4.3 trilion).

Di Malaysia, nilai aset wakaf dianggarkan AS$325 bilion (RM1.4 bilion). Dengan potensi nilai aset wakaf yang tinggi ini, masih belum diterokai dan dimanfaatkan sepenuhnya. Kementerian Pendidikan Tinggi menyarankan penubuhan Tabung Wakaf Universiti Awam. Dilaporkan, beberapa UA sedang berusaha keras untuk menubuhkan Tabung Wakaf berkenaan.

Ada pula yang menubuhkannya sejak sekian lama dan telah mengumpulkan sejumlah dana yang besar. Sebahagiannya pula, menubuhkan Tabung Endowmen dan mengubah haluan dengan penubuhan Tabung Wakaf. Kedua-dua tabung ini mempunyai perbezaan yang jelas. Menurut Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Dr Zakaria Kasa, kebanyakan umat Islam kurang bersetuju dengan endowmen, jadi mereka berpendapat wakaf lebih khusus kepada ganjaran akhirat.

Menurut Pengarah Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen, Universiti Putra Malaysia, Dr Razali Othman, sebenarnya mengikut sejarah, endowmen adalah ciplak daripada konsep dan amalan wakaf. Orang Barat belajar daripada Islam mengenai wakaf. Dengan kebaikan dan manfaat yang banyak daripada wakaf, mereka menghidupkan budaya yang sama di Universiti Oxford sekitar 1500 AH.

Melalui kebijaksanaan Barat, mereka dapat memajukan endowmen dengan memuaskan. Pada hari ini, boleh dikatakan kebanyakan universiti di Eropah dan Amerika Syarikat berjaya menubuhkan Tabung Endowmen berjumlah berbilion-bilion dolar.

Berbanding universiti di luar negara, universiti tempatan kita jauh ketinggalan melalui kegiatan wakaf pengajian tinggi. Peluang penulis menziarahi Muhammadiyyah di Jogjakarta baru-baru ini, memperlihatkan kemajuan wakaf universiti mereka yang mempunyai 12 universiti dan pelbagai kegiatan berkaitan wakaf.

Begitu juga di Universiti Fatoni, di Thailand yang berjaya menubuhkan pelbagai fakulti dan bangunan akademik hasil sumbangan wakaf dari negara Arab seperti Iraq, Iran, Arab Saudi, Kuwait dan sebagainya. Dalam negara Islam, Universiti King Abdul Aziz dan al-Azhar di Mesir mendahului dengan aset wakaf bernilai berbilion-bilion dolar.

Tubuh tabung wakaf

Di negara kita, beberapa UA bergerak lancar memajukan tabung wakaf/endowmen. Mereka sudah memulakan langkah awal ke arah penubuhan Tabung Wakaf. Mereka cuba mencari pendapatan sendiri sekurang-kurangnya 30 peratus. Peruntukan kerajaan sekitar 70 peratus.

Dilaporkan, empat UA iaitu UKM, UPM, USM dan USIM berjaya mengumpul RM12 juta baru-baru ini. Pihak UPM sahaja, berjaya mengumpulkan wakaf RM7.35 juta sejak penubuhannya pada 2011. UKM berjaya mengumpulkan lebih RM400,000 sejak penubuhannya pada 2010 dan USIM mengumpulkan RM4.24 juta sejak 2013. UMP meraih RM421,000 sejak 2015, manakala di UTM pula Tabung Endowmen yang ditubuhkan pada sekitar 2009, berjaya mengumpulkan kira-kira RM82 juta daripada pelbagai sumber dana.

Beberapa UA lain sedang berusaha menjalin kerjasama dengan majlis agama Islam di negeri masing-masing. Begitu juga dengan kerjasama antara agensi berkaitan wakaf (ABW) dengan UA. Kerjasama yang erat perlu wujud, disebabkan struktur pentadbiran negara berkaitan wakaf. Di bawah Jadual 9 Perlembagaan Persekutuan, perihal keagamaan dan tanah terletak di bawah hal ehwal negeri.

Apabila sebuah UA menjalankan urusan menambah dana wakaf, sudah pasti wujud isu pentadbiran dengan MAIN di peringkat kerajaan negeri. Begitu juga dengan sebuah UA yang dimiliki sepenuhnya Kerajaan Pusat, usaha mendapatkan tanah wakaf tentu menimbulkan isu dengan MAIN kerana tanah adalah urusan kerajaan negeri. Justeru, jalan penyelesaiannya adalah pemuafakatan.

Pihak UA perlu bekerjasama dengan agensi lain pada peringkat Kerajaan Persekutuan seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang boleh memberi pelepasan cukai kepada pewakaf. Tidak kurang pentingnya, kerjasama dan pemuafakatan dengan ABW seperti Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), Yayasan Wakaf Malaysia (YWM) dan Majlis Agama Islam Negeri.

Bak kata pepatah – menarik rambut daripada tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berserakan. Bertindaklah dengan hikmah. Air yang sejuk, kalau kena caranya, boleh memadamkan api yang marak. Titisan air boleh menembusi batu yang keras.

Presiden Pertubuhan Profesional Tanah Malaysia (PERTAMA) dan pensyarah kanan di Jabatan Pengurusan Harta Tanah, Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia

Sumber : Pilih antara Endowmen, Wakaf di UA

Categories
Rencana

RELATED ARTICLE