Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menerima seramai 730 orang pelajar baharu bagi program Ijazah Sarjana Muda semester II, sesi 2016/2017 pada hari pertama pendaftaran yang berlangsung pada hari ini, 5 Februari 2017.

Kesemua pelajar yang mendaftarkan diri akan mengikuti pelbagai kursus yang ditawarkan oleh enam fakulti iaitu Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar (FKAAS), Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE), Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP), Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM), Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV) dan Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK). Untuk pengambilan kali ini, FTK mencatatkan jumlah paling tinggi menerima pelajar baharu iaitu sebanyak 35 peratus daripada jumlah keseluruhan.

Bagaimanapun, jumlah pendaftaran pelajar terus meningkat sehingga tempoh rayuan berakhir. Pelajar-pelajar baharu tersebut menginap di kolej-kolej kediaman yang disediakan oleh pihak universiti dan mereka diwajibkan mengikuti Minggu Haluan Siswa (MHS) yang berlangsung selama seminggu bermula 5 hingga 9 Februari ini.

Dalam minggu orientasi tersebut, pera pelajar akan mengikuti beberapa sesi seperti Sesi Bersama Naib Canselor dan Kepimpinan Universiti, Sesi Bersama Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Pendaftaran Kursus, Explorace dan Sukaneka, Program “Starting School” serta Program “IM4U Reachout.” Turut diadakan beberapa sesi taklimat seperti Taklimat Pengenalan Universiti, Taklimat Fakulti dan Bersama Penasihat Akademik, Taklimat PTPTN dan juga Taklimat Kokurikulum.

Kesemua acara yang diadakan ini bertujuan membantu pelajar-pelajar baharu tersebut mengenali universiti ini dengan lebih dekat di samping merapatkan lagi hubungan mereka dengan warga kerja UTHM.