Pusat Penyelidikan Jamilus (JRC), Fakulti Kejuruteraan Awam Alam Sekitar (FKAAS), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah mengadakan satu kunjungan hormat ke Pejabat Tan Sri Ir (Dr) Jamilus Md Hussin, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti di Wisma KLIA Holdings, Bandar Baru Bangi, Selangor pada 4 Januari baru-baru ini.

Kunjungan hormat tersebut diketuai oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Innovasi), Profesor Dr Ruzairi Abd Rahim bersama Dekan FKAAS, Profesor Madya Dr Abdul Halid Abdullah; Timbalan Dekan (AA), Profesor Madya Dr Mohd Haziman Wan Ibrahim; Pengarah Urusan UHSB, Dr Nor Azizi Yusoff; Ketua Pusat Penyelidikan JRC, Dr Shahiron Shahidan dan Dr Nor Haslinda Abas ke Pejabat Tan Sri Ir (Dr) Jamilus Md Hussin di Wisma KLIA Holdings, Bandar Baru Bangi, Selangor.

Tujuan lawatan ini adalah sempena menyambut ulang tahun JRC ke-5 pada tahun 2017 serta membentangkan hasil pencapaian JRC selama lima tahun sejak penubuhannya. Dalam tempoh lima tahun penubuhan JRC, banyak pencapaian yang telah dicapai seperti peningkatan ketara dalam penerbitan, penyelidikan, inovasi, pengujian dan perundingan. Kejayaan ini membuktikan JRC bergerak pantas dan mampu bersaing dengan pusat kecermerlangan yang lain.

Semasa lawatan tersebut, Tan Sri Ir (Dr.) Jamilus turut mencadangkan kepada pengurusan Fakulti dan JRC untuk bergerak maju kehadapan di dalam bidang Industrialised Building System (IBS) dan Building Information Modeling (BIM) berbanding MTUN yang lain. Banyak potensi penyelidikan bagi IBS misalnya, yang mana antara yang ditekankan adalah penghasilan universal joint bagi menyelesaikan masalah atau isu kebocoran di bahagian joint (terutamanya di bahagian washroom) bagi struktur yang menggunakan komponen konkrit pratuang. Beliau menggalakkan ahli JRC menjalin hubungan dengan industri bagi mengenalpasti masalah yang dihadapi oleh industri untuk dijadikan projek penyelidikan.

Antaranya, banyak bahan konkrit yang tersedia ketika ini tidak ekonomikal, seperti pengunaan Glass Fibre Reinforced Concrete (GFRC) sebagai façade bangunan memerlukan kos yang tinggi. Selain itu, Tan Sri Ir (Dr.) Jamilus juga mencadangkan agar JRC bekerjasama dengan DOSH (JKKP) bagi cadangan penyelesaian terhadap isu keselamatan di sektor binaan melalui konsep design-for-safety (DfS) seperti yang dilaksanakan di Singapura.

Bagi pihak KLIA Premier Holdings, Tan Sri Ir (Dr.) Jamilus juga bersetuju untuk bekerjasama dengan JRC bagi pelaksanaan kursus jangka pendek iaitu seperti Project Management dan Railway Engineering bagi program specialist diploma di KLIA College . Secara kesuluruhannya, beliau amat berpuas hati dengan pencapaian JRC dan bersetuju dengan bidang-bidang atau kluster penyelidikan di bawah JRC. Harapan Tan Sri Ir (Dr.) Jamilus adalah untuk menjadikan JRC salah sebuah pusat penyelidikan yang cemerlang dan mampu bersaing bersama pusat penyelidikan dan kecemerlangan yang lain.

Pada perjumpaan yang sama, Pengarah Urusan UHSB turut membentangkan kemajuan program usahasama dengan kerajaan dan industri Jepun yang bakal mengadakan lawatan ke UTHM pada awal Mac 2017. Selain daripada itu, beliau juga turut menekankan agar usaha proaktif perlu digerakkan bagi menghidupkan ekosistem penjanaan kewangan universiti melalui kerjasama erat antara UTHM dan anak syarikat universiti bagi memastikan kelangsungan operasi universiti dalam suasana ekonomi yang sangat mencabar ini.

Berdasarkan pencapaian terkini, JRC dan Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar telah banyak menyumbangkan khidmat pakar dalam bentuk perundingan, pengujian kejuruteraan awam, seminar serta kursus-kursus profesional. Kecemerlangan ini diharap dapat diteruskan dalam membina kekuatan tenaga profesional universiti yang seterusnya mampu memberi sumbangan positif kepada negara.Secara keseluruhannya, perjumpaan ini telah membuka lembaran baru kepada inisiatif-inisiatif positif yang lebih tersusun antara JRC-UTHM-UHSB. Semoga ianya akan memberi impak positif kepada UTHM dan masyarakat setempat.