Batu Pahat – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP) dan Pusat Pembangunan dan Pengembangan Pelajar (P3P) telah menganjurkan Program Khidmat Masyarakat dengan menyasarkan 10 daerah di negeri Johor sebagai lokasi untuk mendekati dan membantu masyarakat.

Bagi memenuhi tujuan tersebut, satu program berteraskan “With Wisdom We Care” telah diadakan di Kampung Sahari, Simpang Renggam, Johor pada 8 hingga 10 Disember 2016 yang lalu. Sebagai penuntut institut pengajian tinggi, mereka sewajarnya diberikan pendedahan tentang situasi sebenar kehidupan bermasyarakat melalui kegiatan – kegiatan amal. Justeru itu, penganjuran program khidmat masyarakat ini bertujuan untuk melatih penuntut UTHM untuk menabur bakti dan meningkatkan lagi semangat sukarelawan bagi membantu masyarakat setempat. Hal ini secara tidak langsung dapat memberikan suatu pengalaman baru kepada mereka untuk berinteraksi dengan penduduk setempat dan meningkatkan rasa hormat terhadap masyarakat tanpa mengira usia dan latar belakang.

Pada asasnya, program ini dilaksanakan adalah untuk mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan penuntut FPTP di samping mewujudkan pertukaran ilmu pengetahuan (Knowledge Transfer) di antara pelajar dan juga masyarakat setempat. Penganjuran program ini juga bagi menambahkan lagi ilmu pengetahuan selain ilmu di dalam kelas dan bagi memupuk semangat kerja berpasukan mahasiswa melalui penyertaan dalam pertandingan dan lantikan ahli jawatankuasa.

Pelbagai program yang melibatkan 39 mahasiswa dari FPTP dan 20 keluarga telah dilaksanakan selama tiga hari dua malam. Antaranya para peserta dibawa melawat ke Industri Kecil Sederhana (IKS) Kilang Kek Marble yang terletak di Bangunan Kompleks IKS, Simpang Renggam. Pemilik IKS, Puan Zaharah Arip telah memberi peluang kepada mahasiswa dan penduduk kampung Sahari untuk melihat sendiri proses pembikinan kek marble dan juga berpeluang merasa kek yang telah siap dimasak.

Dekan Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP), Dr. Mohd Lizam Mohd Diah telah menyempurnakan program tersebut yang berkonsepkan “Bandar Hijau” yang diadakan pada hari kedua program.

Upacara perasmian diselitkan dengan penanaman anak pokok buah-buahan dan pembersihan kawasan setempat. Beberapa anak pokok buah-buahan telah ditanam di perkarangan masjid dalam usaha mengindahkan lagi lanskap sekali gus hasilnya nanti dapat dinikmati oleh penduduk setempat. Turut diadakan, penganjuran sukan rakyat bersama keluarga angkat yang melibatkan aktiviti seperti boling kelapa dan balingan belon air yang dinamakan “Semakin Jauh Semakin Sayang” bertujuan mengeratkan lagi hubungan antara keluarga angkat dan para peserta.

Aktiviti kerohanian juga disusun dengan penyampaian ceramah bertajuk “Nilai Kekeluargaan” yang disampaikan sejurus selesai sembahyang maghrib secara berjemaah di masjid. Para peserta dan keluarga angkat turut diberikan pemeriksaan kesihatan secara percuma termasuklah pemeriksaan tekanan darah, kencing manis, ukuran berat badan dan tinggi serta kaunseling kesihatan.

Manakala majlis penutup pula telah disempurnakan oleh oleh Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Dr. Md. Asrul Nasid Masrom pada hari terakhir program berlangsung. Beliau dalam ucapannya melahirkan rasa terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan program ini.

“Program Khidmat Masyarakat 10 Daerah Negeri Johor tidak akan berjaya tanpa kerjasama penduduk setempat, Pejabat Pertanian Air Hitam, ahli Kelab Technologiy Management and Business (TMB) di bawah FPTP, penyelaras program , En. Kamaluddin Bilal, pensyarah-pensyarah terlibat dan juga beberapa syarikat-syarikat IKS di sekitar Parit Raja yang telah membantu dari pelbagai aspek.”

“Adalah diharapkan agar program seumpama ini dapat diperkasakan secara berterusan lagi pada masa akan datang demi kebaikan masayarakat setempat dan juga pihak UTHM,” katanya.