BATU PAHAT – Kumpulan penyelidik “ECO-HYDRO” dari Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) yang terdiri daripada staf akademik dari Jabatan Kejuruteraan Awam (JKA), Pusat Pengajian Diploma (PPD) telah mengadakan satu program lawatan penyelidikan ke Taman Negara Johor, Endau, Rompin (PETA) pada 24 hingga 26 September lalu.

Program yang dijalankan buat pertama kali ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada staf akademik mengenai sistem Mikro Hidro yang telah berjaya dibangunkan di “Nature Educational Research Center (NERC)”. Sistem ini berfungsi untuk membekalkan bekalan elektrik dengan menggunakan sumber bekalan air yang di ambil dari Sungai Semawak yang terdapat di sana.

Menurut ketua penyelidik kumpulan “ECO-HYDRO” Encik Izat Yahaya, kewujudan sistem ini membolehkan pelbagai kajian dilakukan antaranya kajian berkenaan kualiti udara, bunyi, air dan eko sistem itu sendiri di samping efesiensi turbin dan pembekalan tenaga hijau di sekitar NERC.

Menurut beliau sokongan dari peserta yang berpengalaman seperti ini dapat memberi dorongan dan motivasi kepada ahli akademik yang lain. Dengan adanya program seperti ini ianya juga dapat merapatkan lagi hubungan dan kerjasama antara peserta dan secara tidak langsung dapat menjalinkan hubungan dua hala antara UTHM dengan pihak Taman Negara.

“Selain dari memberi pendedahan kepada dunia sebenar kerja di lapangan dan penyelidikan luar, program ini juga sedikit sebanyak dapat memberi motivasi kepada peserta melalui program lawatan akademik yang di jalankan di sekitar kawasan hutan yang merangkumi perjalananan darat dan sungai hampir sepanjang 12 km. Program yang berakhir dengan lawatan ke kampung orang asli (PETA) turut meningkatkan ilmu pengetahuan mengenai sistem penjanaan Mikro Hidro yang boleh di kongsi dan dikembangkan pada masa hadapan, ” katanya.

Program ini juga melibatkan kerjasama daripada orang asli kampung PETA dan juga Perbadanan Taman Negara Johor (PTNJ) sekali gus dapat memperkenalkan taman negara sebagai destinasi pelancongan selain sebagai penyelidikan.Para peserta dapat menikmati keindahan flora dan fauna yang terpelihara dengan baik di Taman Negara dan menikmati sistem sedia ada yang hanya menggunakan sumber tenaga hijau.

Lawatan yang berlangsung selama tiga hari ini turut disertai Timbalan Dekan Akademik PPD, Tuan Haji Amir Khan Suwadi, Ketua Jabatan JKA ,Tuan Haji Roslan Kolop dan mantan Ketua Jabatan, Profesor Madya Tuan Haji Ismail Yusof selain 13 orang peserta dari PPD dan Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar (FKAAS).

“Program seperti ini juga akan dikembangkan dan terbuka bukan sahaja kepada staf akademik malah kepada mahasiswa dan mahasiswi dari UTHM atau dari IPTA luar dan pihak kami amat memerlukan sokongan daripada pelbagai pihak, ” katanya ketika ditemui di Taman Negara Johor Endau Rompin (PETA).

Untuk maklumat lanjut bolehlah menghubungi Encik Izat Yahya di talian 019-766 0705.