Muar – Pejabat Hubungan Universiti dan Masyarakat (PHUM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Mobile Fiesta Management (MFM) sekali lagi mencipta sejarah tersendiri apabila program ‘car boot sales’ yang telah diadakan pada 9, 10 dan 11 Disember 2016 lalu berjaya menjana pendapatan dan membangunkan ekonomi komuniti di daerah Muar.

Program yang mendapat kerjasama daripada Pejabat Daerah Muar, Majlis Perbandaran Muar dan KEMAS, serta beberapa agensi lain ini menggabungkan tujuh kumpulan komuniti peniaga muda yang berniaga berasaskan jualan buka bonet kereta yang mana ia mengumpulkan seramai 130 peniaga mikro daripada seluruh daerah di negeri Johor, Melaka dan Kuala Lumpur sehingga berjaya mencipta satu rekod iaitu ‘Himpunan Mobile Fiesta Boot Sales Terbesar Muar’.

Penganjuran program ini bersempena dengan Karnival KEMAS4U dan UTHM2U adalah untuk menggalakkan masyarakat khususnya golongan muda menceburi bidang perniagaan di samping sebagai satu inisiatif menggalakkan aktiviti keusahawanan kepada peniaga-peniaga mikro yang mempunyai kiosk bergerak seperti kereta, van, lori kecil makanan dan motosikal untuk mendapatkan platform perniagaan bagi menjual barangan terpakai, produk baru dan perniagaan berasaskan perkhidmatan. Selain itu, program ini juga turut bertujuan untuk mengeratkan jaringan hubungan universiti-masyarakat dan merupakan platform bagi meningkatkan taraf ekonomi komuniti di Muar dan juga masyarakat di luar bandar.

Program yang diadakan seawal jam 9.00 pagi hingga 12.00 tengah malam sepanjang tiga hari di Tanjung Emas, Muar ini, telah memberi impak yang sangat positif dalam sektor pelancongan dan inap desa. Peniaga mikro yang datang dari Tangkak, Pontian, Johor Bahru, Segamat, Batu Pahat, Bandar Sri Alam, Melaka malah Kuala Lumpur hadir menginap sementara di Muar dan menyebabkan hotel dan inap desa berdekatan telah penuh didiami. Manakala medan selera dan restoren berdekatan juga sentiasa penuh dengan kehadiran pengunjung seramai 20,000 orang untuk menjamu selera.

Program ini turut dikunjungi oleh Penolong Naib Canselor (Hubungan Industri dan Masyarakat), UTHM, Profesor Dato’ Dr Abd Razak Hj Omar Omar yang membuat tinjauan tapak pada hari pertama program. Turut bersama sepanjang program adalah Pengarah Program, Puan Anim Zalina Azizan yang turut berkhidmat sebagai pensyarah di Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP), UTHM dan juga merupakan Ketua Jabatan Pembangunan Ekonomi (PHUM), serta Pengurus Acara MFM, Encik Muhammad Rizaki Sarimin. Lima orang krew MFM terdiri daripada belia tempatan, polis trafik, penguatkuasa MPM dan anggota RELA turut membantu untuk memastikan kelancaran program tersebut. Majoriti peniaga mikro memberikan maklum balas yang sangat positif tentang hasil jualan mereka serta sambutan yang amat menggalakkan daripada pengunjung yang hadir. Mereka turut berharap supaya program seperti ini dapat diteruskan secara berkala dengan pengisian aktiviti-aktiviti yang boleh menarik pengunjung seperti cabutan bertuah, pertandingan dikalangan peniaga mikro dan juga aktiviti kekeluargaan.

Program yang sememangnya mempunyai kekuatan promosi tersendiri ini, telah menarik puluhan ribuan pengunjung, turut diserikan dengan pengisian program anjuran KEMAS4U seperti Sukan Rakyat, Pertandingan Mewarna, Persembahan Santai Anak Seni Pemuzik Muar, Himpunan Kelab-kelab Kereta, Auto Show dan Motor Show dan juga Pameran daripada Agensi-agensi Kerajaan.

PHUM akan terus berusaha untuk merancang dan merangka projek/program yang berkait rapat dengan universiti-masyarakat sesuai dengan inisiatif Universiti Community Transformation Centre (UCTC) dan hala tuju Strategik Lautan Biru National (NBOS) yang menerapkan pemikiran budaya kerja untuk membantu kerajaan mencari idea-idea baru yang kreatif dan inovatif dalam memberi keselesaan dan kesejahteraan kepada rakyat.~ Technically Above The Rest